Bola Sepak

Pendatang baharu EPL malukan Arsenal

Oleh AFP

London: Brentford bermula baik pada perlawanan pertama mereka di Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas 74 tahun apabila gol menerusi Sergi Canos dan Christian Norgaard memastikan kemenangan 2-0 ke atas Arsenal di depan penonton yang memenuhi Stadium Brentford Community, hari ini.

The Bees menyaksikan kira-kira 17,000 penyokong menyaksikan perlawanan pertama mereka di Liga Perdana selepas ditutup kepada orang ramai sejak Mac 2020 berikutan pandemik Covid-19.

"Atmosfera sangat luar biasa," kata pengurus Brentford, Thomas Frank.

"Kali pertama beraksi di liga utama, kami membuka kempen Liga Perdana untuk penonton. Kami akan meraikan segala kemenangan bersama-sama tetapi kami mahukan lebih banyak kejayaan lagi."

Secara perbandingan, pengurus Arsenal, Mikel Arteta sudah berdepan tekanan.

The Gunners hanya menamatkan aksi liga di tempat kelapan sepanjang dua musim beliau membimbing kelab berkenaan dan pengendali dari Sepanyol itu mempunyai tugas berat memastikan nasib Arsenal berbeza kali ini dengan pasukan pilihan, Chelsea dan Manchester City akan menanti Arsenal selepas ini.

"Saya tidak rasa kami berhak mendapat apa-apa," kata Arteta.

Arsenal turun tanpa Pierre-Emerick Aubameyang dan Alexandra Lacazette kerana berdepan kecederaan sekali gus menyaksikan Folarin Balogun melakukan penampilan pertama di Liga Perdana dan gagal memberikan impak yang besar.

"Banyak barisan pemain muda cuba melakukan yang terbaik. Bagi sesetengah daripada mereka ini adalah pengalaman kali pertama di saingan liga," kata Arteta.

Disiarkan pada: August 14, 2021 @ 7:42am
d