Bola Sepak

Ancelotti tak minat bercakap mengenai Mbappe

Oleh AFP

Madrid: Menolak bercakap mengenai adakah kelab berminat mendapatkan Kylian Mbappe dari Paris Saint-Germain (PSG), Carlo Ancelotti sebaliknya menegaskan Real Madrid mempunyai ramai pemain muda berbakat yang mampu menyerlah.

Dengan kontrak pemenang Piala Dunia, Mbappe berakhir tahun depan, Real dikaitkan bersedia mendapatkan penyerang berbisa itu jika dia tidak berminat bergandingan dengan Lionel Messi dan Neymar di PSG.

Bagaimanapun Ancelotti lebih berminat bercakap mengenai barisan pemain muda yang dimilikinya ketika kali kedua membimbing Real selepas meninggalkan Everton.

"Saya minta maaf, saya tak boleh bercakap mengenai perkara ini," kata Ancelotti ketika ditanya mengenai kemungkinan kehadiran Mbappe ke Real.

"Saya tak mahu bercakap mengenai pemain yang tiada di sini. Apapun, jendela perpindahan pemain belum berakhir sehingga hujung bulan ini.

"Tapi saya sukakan skuad sedia ada. Terdapat campuran pemain veteran dan muda yang berbakat dan bersemangat tinggi. Antara mereka ialah Miguel Gutierrez, Sergio Arribas, Victor Chust, Marvin.

"Mereka boleh menjadi pemain yang amat penting pada masa depan," kata Ancelotti yang memenangi Liga Juara-Juara 2014 ketika kali pertama membimbing Real yang ketika itu menyaksikan penampilan musim pertama pemain Wales, Gareth Bale.

Bale sudah pulang ke Sepanyol selepas dipinjamkan ke Tottenham tetapi Ancelotti menegaskan pemain itu mampu beraksi pada tahap terbaik seperti kita beliau mula-mula mengenalinya.

"Dia adalah pemain hebat yang mungkin tidak begitu cemerlang sejak kebelakangan ini. Tetapi saya meletakkan kepercayaan yang tinggi kepadanya dan dia cukup bekerja keras ketika sesi latihan," katanya.

Disiarkan pada: August 14, 2021 @ 2:03pm
d