Bola Sepak

Penyerang Bordeaux rebah di padang

Oleh AFP

Marseille: Penyerang Bordeaux, Samuel Kalu tiba-tiba rebah di atas padang dalam perlawanan Ligue 1 Perancis dekat Marseille, pagi ini ketika suhu mencecah 30 darjah.

Pemain kebangsaan Nigeria berusia 23 tahun itu pengsan dan rebah di Stade Velodrome pada awal permainan.

Rakan sepasukan yang bimbang segera membantu Kalu dan memanggil pasukan perubatan bagi mendapatkan bantuan.

Selepas berdepan detik mencemaskan, Kalu berupaya bangun dan digantikan Remi Oudin.

Kejadian itu berlaku hanya dua bulan selepas pemain Denmark, Christian Eriksen mengalami cardiac arrest pada perlawanan Euro 2020.

"Insiden membabitkan Kalu menakutkan kami. Ia sentiasa mengejutkan buat penonton dan pemain di padang," kata Oudin yang turut menjaringkan gol dalam saingan berkesudahan seri 2-2 itu.

"Dengan apa yang berlaku kepada Eriksen di Euro, kami memikirkannya. Semua orang berasa sedikit takut. Bagaimanapun ia berakhir dengan baik."

"Menurut doktor, ia berkaitan ketidakselesaan tetapi dia semestinya akan menjalani beberapa ujian hari ini."

Pada Jun 2019, Kalu dimasukkan ke hospital kerana masalah hidrasi ketika latihan bersama skuad Nigeria dekat Mesir berdepan saingan Piala Negara Afrika.

Disiarkan pada: August 16, 2021 @ 8:42am
d