Bola Sepak

Besiktas pinjam Batshuayi

Oleh Agensi

London: Pemain Belgium, Michy Batshuayi menyertai kelab Turki, Besiktas secara pinjaman sehingga penghujung musim ini selepas melanjutkan kontrak bersama Chelsea sehingga 2023.

Ia pinjaman kelima buat pemain berusia 27 tahun itu sejak berpindah ke Stamford Bridge pada 2016.

Sebelum ini Batshuayi dipinjamkan ke Borussia Dortmund, Valencia dan dua kali dengan Crystal Palace di mana dia meledak dua gol dalam 18 aksi musim lalu.

Penyerang Chelsea itu tidak tampil untuk Chelsea sejak Februari 2020.

Besiktas pula menjuarai Super Lig 2020-21 dan akan beraksi di Liga Juara-Juara musim ini.

Sejak tiba di Stamford Bride dari Marseille dengan harga £33 juta, Batshuayi meledak 25 gol dalam 77 penampilan bersama Blues.

Dia menjaringkan enam gol ketika dikendalikan Frank Lampard pada musim 2019-20 tetapi dengan Tammy Abraham dan Olivier Giroud berada di kemuncak prestasi, sukar untuk Batshuayi berada dalam skuad utama.

Dia membantu Chelsea menjuarai Liga Perdana pada musim 2016-17 yang juga musim pertamanya di England.

Perpindahannya ke Besiktas dapat direalisasikan selepas Romelu Lukaku kembali ke Chelsea dan Abraham berpindah ke Roma.

Disiarkan pada: August 18, 2021 @ 10:50pm
d