Bola Sepak

Hodak ceria raih tiga mata di tempat lawan

Oleh Asrol Awang

Kuantan: Pengendali Kuala Lumpur (KL) City FC, Bojan Hodak gembira apabila skuad itu mencatat kemenangan kali pertama di tempat lawan musim ini.

Beliau berkata, kemenangan 2-0 ke atas Sri Pahang FC di Stadium Darul Makmur malam tadi, diharap mampu meningkatkan motivasi anak buahnya pada baki tiga perlawanan saingan Liga Super musim ini.

"Saya gembira kerana ini kali pertama KL City menang di tempat lawan dan ia meningkatkan keyakinan kepada pemain untuk beraksi lebih baik selepas ini.

"Biarpun tanpa penyerang yang berdepan masalah kecederaan, kami masih memiliki barisan pemain yang mampu membantu mencatat keputusan terbaik buat pasukan.

"Saya harap semua pemain dapat mengekalkan prestasi ini pada baki perlawanan selepas ini," katanya.

Pada perlawanan malam tadi, dua gol itu, masing-masing dijaringkan oleh pemain tengah, Romel Morales dan Zhafri Yahya pada minit ke-49 dan 70.

Mengulas prestasi yang dipersembahkan anak buahnya itu, beliau berkata, pasukan itu mampu menjaringkan lebih dari dua gol.

Katanya, banyak peluang dipersia-siakan pemainnya terutama pada separuh masa pertama.

"Bagaimanapun, saya gembira kerana pemain beraksi dengan baik pada babak kedua dan memastikan KL City mengutip tiga mata," katanya.

Selepas mengharungi 19 perlawanan, KL City berada di kedudukan keenam dengan mengutip 27 mata.

Disiarkan pada: August 21, 2021 @ 1:12pm
d