Bola Sepak

Red Giants jaguh dalam pembikinan

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Selangor FC memiliki sebab untuk dilabel sebagai jaguh dalam pembikinan apabila pasukan itu muncul antara kelab yang paling banyak mengenengahkan pemain-pemain muda dalam skuad utama di Liga Super ketika ini.

Berdasarkan statistik skuad Red Giants musim ini, pasukan itu dilihat cukup berani mempertaruhkan hampir lapan pemain di bawah usia 22 tahun berbanding pesaing lain yang hanya menurunkan dua atau seorang ubi muda dalam satu-satu perlawanan.

Daripada lapan tonggak itu, enam daripadanya adalah anak tempatan yang secara purata meraih sekurang-kurangnya lima aksi sebagai tonggak utama selain turut kerap dimasukkan sebagai pemain gantian termasuk dalam beberapa perlawanan besar seperti menentang Kedah Darul Aman FC, Terengganu FC dan Johor Darul Ta'zim.

Enam pemain muda terbabit Zikri Khalili, Sikh Izhan Nazrel, Ahmad Danial Asri, Mukhairi Ajmal, Aliff Haiqal dan Sharul Nazeem selain dua tonggak import iaitu Hein Htet Aung dan Jordan Ayimbila.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon, kepercayaan yang diberikan barisan kejurulatihan terhadap pemain muda ini adalah selari dengan misi kelab yang memberi fokus kepada soal pembangunan.

Katanya, hubungan baik antara pengendali pasukan, Karsten Neitzel dan Pengarah Teknikal, Michael Feichtenbeiner turut membantu dalam mengenengahkan pemain muda di tahap tertinggi.

"Formulanya adalah atas kepercayaan dua watak penting pasukan iaitu Neitzel dan Feichtenbeiner yang sering berkerjasama sebagai satu unit.

"Neitzel sendiri selalu berhubung dengan Feichtenbeiner untuk melihat potensi pemain-pemain muda yang boleh diketengahkan daripada Selangor II di Liga Perdana kepada pasukan utama iaitu Selangor di Liga Super.

"Walaupun pemain-pemain itu muda, tetapi kita tidak menganggapnya satu kelemahan kerana kita percaya pemain muda ini akan menjadi aset berharga pasukan di masa depan sekali gus menjadi platform menghasilkan pemain berkualiti," katanya kepada Arena Metro.

Selangor yang juga juara 33 kali Piala Malaysia serta enam kali menjulang trofi divisyen satu Liga Malaysia adalah pasukan yang cukup digeruni pada zaman kegemilangannya dari tahun 60an hingga 90an.

Ramai pemain legenda skuad Harimau Malaya lahir daripada pasukan Selangor termasuk Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari, mendiang Datuk R Arumugam, Zainal Abidin Hassan dan ramai lagi.

Disiarkan pada: August 25, 2021 @ 6:37pm
d