Bola Sepak

Red Giants serius buru tiga mata

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Skuad Red Giants cukup serius dan tidak main-main menjelang aksi Liga Super menentang Melaka United di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya esok apabila menyasarkan tiga mata penuh buat mengukuhkan kedudukan di kelompok atasan liga.

Nada serius itu diluahkan pengendali Selangor FC, Karsten Neitzel yang mahu pemainnya meneruskan rentak kemenangan sekali gus mengekalkan rekod bersih tanpa kekalahan dalam empat aksi terakhir sebelum ini.

Bagaimanapun, jurulatih berasal dari Jerman itu turut mengingatkan agar anak buahnya tidak terlalu yakin kerana baginya pasukan Melaka United tetap berbahaya sekiranya pemainnya leka dalam aksi itu.

"Melaka pasukan yang cukup sukar dan kami kena bersedia dengan serius seperti juga perlawanan-perlawanan yang lain dan kami akan turun dengan sasaran untuk tiga mata," kata Neitzel.

Jelasnya lagi, kemenangan ke atas skuad Hang Tuah amat penting terutama dalam baki tiga aksi terakhir Liga Super musim ini yang menyasarkan untuk berada dalam kelompok teratas liga.

"Saya harap kita dapat tamatkan pada kedudukan yang setinggi mungkin, tapi kita tak boleh terlalu yakin.

"Sebab itu kita tak boleh harapkan keputusan daripada perlawanan pasukan lain, sebaliknya kita kena dapatkan tiga mata dalam setiap aksi dan itu yang kita kena lakukan," katanya.

Ketika ini, juara 33 kali Piala Malaysia itu menduduki tangga kelima liga dengan 32 mata dan dipisahkan cukup jauh oleh Johor Darul Ta'zim di puncak saingan dengan 48 mata berbaki tiga aksi untuk ditamatkan.

Begitupun, Selangor masih mampu merebut kedudukan di tangga kedua dan ketiga yang turut menyediakan slot automatik ke Piala AFC musim depan, di mana jurang mata antara Terengganu FC (37 mata), Kedah Darul Aman FC (35 mata) dan Penang FC (34 mata) tidak terlalu jauh.

Disiarkan pada: August 27, 2021 @ 5:04pm
d