Bola Sepak

Liverpool, Chelsea seri, Arsenal makin derita

Oleh AFP

London: Chelsea yang beraksi sepuluh pemain seri 1-1 di Liverpool selepas Reece James dibuang padang manakala Mikel Arteta menggesa Arsenal melihat diri sendiri selepas dibelasah Manchester City semalam.

Juara Eropah, Chelsea mendahului permainan menerusi tandukan Kai Havertz hasil sepakan sudut James pada minit ke-22 tetapi aksi menarik kedua-dua pencabar gelaran liga itu dicemari insiden kad merah James sejurus sebelum rehat.

Pertahanan Chelsea itu yang berdiri di atas garisan gol tertampan bola tolakan Sadio Mane dengan tangan dan pengadil, Anthony Taylor memberikan penalti selepas melihat monitor VAR sebelum melayangkan kad merah kepada James.

Mohamed Salah tenang menjaringkan gol penyamaan dan dominasi Liverpool berterusan di babak kedua namun benteng Chelsea tangkas bertahan dengan penjaga gol, Edouard Mendy beberapa kali menyelamatkan gawangnya.

Kedua-dua pasukan yang kekal tanpa kalah membayangkan persaingan sengit dalam memburu gelaran liga musim ini.

"Keputusan ini hasil kerjasama terbaik berpasukan,'' kata pengurus Chelsea, Thomas Tuchel.

"Kad merah menjejaskan permainan kami. Saya tiada jawapan mengenainya. Mungkin kerana dia menafikan peluang lawan tetapi mungkin juga tidak disengajakan. Saya lebih berharap pengadil meneliti VAR lebih lama.''

Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp berkata: "Semuanya bagus kecuali keputusan. Babak pertama yang hebat dan babak kedua juga hebat sebenarnya kerana tidak mudah berdepan sembilan pertahanan lawan.

"Bolehkah kami melakukan lebih baik lagi? Ya tetapi masih di awal musim.''

Arsenal pula kini tewas kesemua tiga perlawanan awal liga dan belum meledak sebarang gol. Skuad Arteta menduduki tangga tercorot selepas permulaan terburuk sejak 1954 sekali gus memberikan tekanan kepada pengurus mereka.

Manakala City memberikan amaran mereka lebih daripada mampu mempertahankan trofi Liga Perdana musim ini walaupun gagal mendapatkan Harry Kane dan Cristiano Ronaldo.

"Saya benar-benar kecewa dengan situasi dalam padang selepas tiga perlawanan. Kini masanya menilai diri sendiri, setiap daripada kami dan cuba dapatkan kembali rentak secepat mungkin selepas ini kerana kami perlukan kemenangan.''

Everton pula menewaskan Brighton 2-0 menerusi jaringan Demarai Gray dan Dominic Calvert-Lewin untuk kekal tanpa kalah sejak dikendalikan bekas pengurus Liverpool, Rafael Benitez manakala Crystal Palace seri 2-2 dengan West Ham.

Pendatang baharu, Brentford seri 1-1 di Aston Villa dan Southampton meledak jaringan lewat untuk seri 2-2 di Newcastle.

Disiarkan pada: August 29, 2021 @ 7:59am
d