Bola Sepak

Giroud mengganas ledak dua gol buat Milan

Oleh AFP

Milan: Olivier Giroud dan Tammy Abraham kedua-duanya melakarkan impak dalam saingan Serie A semalam dengan bekas pemain Chelsea itu membantu pasukan masing-masing AC Milan dna Roma merangkul kemenangan selesa yang membolehkan mereka mencatatkan kemenangan dari dua perlawanan pembukaan musim ini.

Penyerang Perancis, Giroud, yang tidak terpilih untuk beraksi dalam aksi kelayakan Piala Dunia bersama Les Bleus membantu pasukan itu mencatatkan kemenangan 4-1 ke atas Cagliari di San Siro manakala Abraham mencetak gol ketika Roma melakar kemenangan 4-0 ke atas pasukan yang baru Salernitana.

Kedua-dua penyerang itu meninggalkan juara Eropah, Chelsea musim panas ini untuk mencari lebih banyak peluang bermula dengan sangat baik di Itali.

Giroud yang diberikan jersi bernombor sembilan di Milan, menjaringkan gol ketiga dan keempat ketika mereka meraih kemenangan mudah di San Siro.

Namanya dilaungkan oleh sebahagian besar daripada 31, 000 penyokong Milan yang hadir menyaksikan pasukan mereka mempamerkan aksi yang menghiburkan hasil sentuhan Stefano Pioli.

"Saya sangat bangga bermain untuk Milan dan bermain di stadium San Siro. Ia satu emosi yang hebat," kata Giroud.

"Saya percaya pada diri dan kemampuan. Ketika saya kecil saya menyaksikan Van Basten, Papin dan Inzaghi dan memakai jersi mereka membuatkan saya gembira."

Sandro Tonali meletakkan Milan di depan pada minit ke-12 menerusi sepakan percuma yang mengagumkan dan Rafael Leao mencetak nama sebagai penjaring kedua Milan selepas Alessandro Deiola menanduk masuk gol buat lawan menyamakan kedudukan.

Disiarkan pada: August 30, 2021 @ 10:27am
d