Bola Sepak

Peluang pemain B-20 sama rata

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Tiada istilah anak emas atau akan mendapat laluan mudah untuk menempatkan diri dalam senarai akhir skuad Bawah 20 tahun (B-20).

Malah, pengendali skuad B-20 negara Brad Maloney mengingatkan pemain supaya membuktikan keupayaan masing-masing menerusi latihan dan perlawanan persahabatan yang bakal berlangsung pada hujung minggu ini.

Beliau berkata, semua pemain mempunyai peluang sama rata dengan mereka akan dipilih berdasarkan merit dan kebolehan mereka yang dilihat mampu memberi sumbangan kepada pasukan.

Katanya, barisan kejurulatihan sentiasa memantau prestasi pemain yang dipanggil menjalani latihan dan akan memilih berdasarkan kriteria ditetapkan kelak.

"Semua pemain mempunyai peluang sama rata untuk berada dalam pasukan kerana kita mahu membentuk skuad yang mantap dan mempunyai keserasian.

"Barisan kejurulatihan akan memantau perkembangan mereka dan setakat ini prestasi pemain berada dalam keadaan memuaskan," katanya.

Terdahulu, kem latihan pusat Fasa 1 dijadual berlangsung selama sembilan hari yang bermula semalam sehingga 7 September ini.

Panggilan ke kem latihan itu sebagai persiapan awal menjelang saingan Kumpulan J, Kelayakan Piala Asia B-23 2022 bertemu Laos, Mongolia dan Thailand di Mongolia dari 27-31 Oktober ini.

Untuk rekod, Malaysia diletakkan dalam Kumpulan J bersama tuan rumah Mongolia, Laos dan Thailand di mana juara setiap kumpulan akan layak secara automatik ke pusingan akhir di Uzbekistan tahun depan.

Disiarkan pada: September 2, 2021 @ 6:02pm
d