Bola Sepak

Pemain Argentina diusir keluar padang [METROTV]

Oleh AFP

Buenos Aires: Jurulatih Argentina, Lionel Scaloni mengecam pihak berkuasa Brazil selepas penangguhan aksi kelayakan Piala Dunia zon Amerika Selatan di Sao Paulo.

Perlawanan Argentina menentang Brazil dihentikan dan kemudian ditamatkan apabila pihak berkuasa Brazil memasuki padang dan mengarahkan pemain Albiceleste keluar.

Penjaga gol Emiliano Martinez, pertahanan Cristian Romero dan pemain tengah Giovani Lo Celso antara empat pemain yang berpangkalan di England dalam skuad Argentina dikatakan melanggar protokol kuarantin Covid-19 Brazil.

"Ia membuatkan saya sangat sedih. Kami adalah mangsa kerana kami mahu bermain perlawanan ini. Pemain Brazil juga mahu bermain perlawanan ini dan ia sepatutnya berlangsung," kata Scaloni.

Scaloni berkata perlawanan berkenaan "sepatutnya menjadi pesta kepada setiap orang untuk menyaksikan aksi terbaik di dunia."

Scaloni mengatakan pemain Argentina meninggalkan lapangan selepas campur tangan pegawai kesihatan yang tidak dapat bertolak ansur dengan mengusir pemain dalam skuad.

"Saya mahu rakyat Argentina faham sebagai jurulatih saya perlu mempertahankan pemain dan jika datang dan berkata mereka mahu mengambil pemain saya dan mengusir mereka, saya akan pertahankan," katanya.

Drama berkenaan berlaku beberapa jam selepas Agensi Pemantauan Kesihatan Kebangsaan Brazil (ANVISA) berkata pemain Liga Perdana termasuk Lo Celso, Martinez, Romero dan Emiliano Buendia memberikan "maklumat palsu" ketika memasuki Brazil.

Bagaimanapun Presiden Persatuan Bolasepak Argentina (AFA) Claudio Tapia berkata mereka sudah mengikut protokol ditetapkan Fifa.

Disiarkan pada: September 6, 2021 @ 8:06am
d