Bola Sepak

KDA, UiTM sama liat

Oleh Izzali Ismail

Alor Setar: Kedah Darul Aman FC (KDA FC) gagal menepati ramalan mengutip mata penuh apabila terikat 3-3 menentang UiTM FC dalam saingan Liga Super di Stadium Darul Aman, malam ini.

Tambahan satu mata yang diperolehi tuan rumah ini bagaimanapun meletakkan pasukan kembali pada tangga kedua selepas memungut 40 mata dengan kelebihan gol mengatasi Penang FC.

Pada perlawanan ini, KDA FC lebih awal mencecah kebuntuan dengan kapten Baddrol Bakhtiar menyumbat gol sulung melalui tandukan yang menewaskan penjaga gol UiTM pada minit ke-36, selepas mendapat hantaran lintang daripada Azamuddin Akil.

Kelebihan satu gol itu bagaimanapun tidak kekal lama apabila UiTM dihadiahkan sepakan penalti selang dua minit selepas itu apabila pemain pertahanan KDA FC, Renan Alves menjatuhkan Sean Gianneli dan kesempatan itu diambil pemain Dennis Buschening menjaringkan gol untuk menyamakan kedudukan.

Seminit selepas bermula babak kedua, UiTM berjaya menambah gol kedua selepas hantaran leret Renan Alves dalam kotak penalti gagal disambar pemain Kedah dan ruang yang ada dimanfaatkan sepenuhnya oleh Yonghyun Kwon yang merembat kencang ke gawang KDA FC.

Ketika KDA FC cuba bangkit menyamakan kedudukan, UiTM sekali lagi mengejutkan tuan rumah melalui gol ketiga Ariff Ar-Rashid yang menguis bola dari belakang pada minit ke-63.

Usaha KDA FC memasukkan Muhamad Fikhrie pada minit ke-72, membuahkan hasil apabila sentuhan pertamanya melalui tandukan berjaya menambah gol kedua pada minit ke-73 selepas mendapat hantaran lintang daripada Fandhi Othman.

KDA FC yang tidak patah semangat terus menggandakan usaha, dan akhirnya penyerang Kipre Tchetche kembali menceriakan kem KDA FC apabila berjaya membolosi gawang UiTM untuk menyamakan kedudukan selepas mendapat hantaran Rizal Ghazali pada minit ke-73 untuk kembali menyamakan kedudukan.

Kedudukan 3-3 itu kekal hingga tamat perlawanan.

Disiarkan pada: September 8, 2021 @ 11:14pm
d