Bola Sepak

Tuchel masih dahagakan kejayaan Liga Juara-Juara

Oleh AFP

London: Pengurus Chelsea, Thomas Tuchel berkata mereka seperti ketagihan selepas muncul juara Liga Juara-Juara dan menggesa pemain agar kekal bernafsu untuk mempertahankan kejuaraan berkenaan.

The Blues memulakan kempen Liga Juara-Juara di laman sendiri berdepan Zenit Saint Petersburg awal pagi esok selepas bermula dengan cemerlang dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Tuchel memberikan impak besar walaupun hanya tiba di kelab berkenaan Januari lalu untuk memberi perubahan kepada Chelsea dari pasukan yang bergelut di pertengahan liga kepada juara Liga Juara-Juara.

Pengendali Jerman itu berjaya merasai detik final tahun lalu bersama Paris Saint Germain (PSG) namun sudah berasa puas dengan pencapaian berkenaan sedangkan muncul juara memberikan pengalaman yang lebih bermakna.

"Saya berjaya mara ke final bersama pasukan sebelum ini tahun lalu dan sudah berasa ia adalah pencapaian paling baik namun nikmat kejuaraan sangat berbeza apabila anda tersedar ia lebih bermakna jika berjaya meraihnya.

"Perkara paling penting ialah tidak menoleh ke belakang tapi terus berasa dahagakan kejayaan kerana ia akan menimbulkan keinginan untuk terus meraih lebih banyak pencapaian.

"Ia seperti ketagihan. Setiap perlawanan adalah disebabkan kemenangan kerana kemenangan akan mengubah perasaan anda, ia mengubah suasana kerja dan memberikan keyakinan semula jadi," kata Tuchel.

Chelsea berada di tangga kedua liga dengan memungut 10 mata daripada empat aksi pembukaan dan menjadi calon pilihan mara dari Kumpulan H yang turut dihuni juara Russia, Zenit, penyandang juara Sweden, Malmo dan Juventus.

Bagaimanapun, Tuchel memberi amaran agar segera melupakan kemenangan 1-0 ke atas Manchester City musim lalu dalam perlawanan akhir di Porto.

Disiarkan pada: September 14, 2021 @ 9:40am
d