Bola Sepak

Gasperini puas anak buah ikat Villarreal

Oleh AFP

Villarreal: Jurulatih Atalanta, Gian Piero Gasperini berpuas hati selepas Robin Gosen menjaringkan gol penyamaan buat pasukan itu untuk mencatatkan keputusan seri 2-2 menentang Villareal yang beraksi dengan 10 pemain dalam aksi Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.

Jaringan Gosen pada minit ke-83 membolehkan kelab Itali itu berada di atas Manchester United dalam Kumpulan F selepas kelab England itu tewas di tangan Young Boys dalam aksi pembukaan musim ini.

Pemain tengah Villareal, Coquelin dilayangkan kad merah pada minit ke-84 selepas menarik jersi Koopmeiners.

"Saya berpuas hati, kami bermain menentang pasukan yang hebat. Kami bermain dengan baik dalam tempoh 30 minit pertama.

"Kami berjaya mengawal bola dengan baik kerana jika anda kehilangan bola terlalu banyak menentang mereka, anda akan dihukum.

"Kami berharap mampu melakar kemenangan selepas kami berkelebihan seorang pemain tetapi pada akhirnya Juan Musso (penjaga gol Atalanta) menyelamatkan kami," kata Gasperini.

Sementara itu, pemain tengah Villareal, Dani Parejo memuji reaksi yang ditampilkan rakan sepasukannya selepas Coquelin dibuang padang sebelum tandukan Gerrard Moreno pada masa kecederaan berjaya diselamatkan.

"Kami sedikit kecewa kerana kami mengharapkan kemenangan. Saya fikir pasukan sudah memberikan yang terbaik.

"Dengan kekurangan seorang pemain, pasukan masih percaya mampu mencipta kemenangan tetapi akhirnya ia bukan rezeki kami," kata Parejo. - AFP

Disiarkan pada: September 15, 2021 @ 1:09pm
d