Bola Sepak

Melaka United sasar separuh akhir

Oleh Nazri Abu Bakar

Melaka: Melaka United menyasarkan mara ke separuh akhir kempen Piala Malaysia selepas diundi bersama Kedah Darul Aman FC (KDA) dalam kumpulan C musim ini.

Pengurus pasukannya, Muhammad Akram Abdullah berkata selepas sekadar menamatkan saingan di peringkat kumpulan pada edisi sebelum ini, pihaknya meletakkan skuad Hang Tuah mara lebih baik dengan menduduki empat terbaik dalam kempen kali ini.

Menurutnya, bagi memenuhi impian terbabit semua persiapan perlu dilakukan dengan agresif termasuk 'post-mortem' semua kelemahan yang perlu diperbaiki.

"Sudah pasti inilah peluang menebus kelemahan yang ada untuk memperolehi keputusan terbaik selepas turut menjamin tempat kekal di Liga Super musim depan.

"Bagi saya jika usaha memperbaiki kekurangan pasukan mampu direncana, Insya Allah Melaka United mampu mara lebih jauh dalam saingan Piala Malaysia. Apapun fokus utama melepasi saingan di peringkat kumpulan terlebih dahulu," katanya.

Selain Kedah yang juga naib juara Liga Super dan Melaka United pasukan lain dalam kumpulan C membabitkan juara Liga Perdana sama ada Negeri Sembilan atau Sarawak United dan pasukan tangga kelima Liga Perdana.

Sementara itu, ketua jurulatih skuad berkenaan, Zainal Abidin Hassan turut mengakui saingan kali ini lebih sengit dengan semua pasukan berpotensi memburu trofi kejuaraan selepas ia dibatalkan pada edisi tahun lalu akibat Covid-19.

Justeru, baginya, banyak 'kerja rumah' perlu dilakukan anak buahnya dalam mencapai sasaran yang ditetapkan pihak pengurusan.

Katanya, perkara paling utama perlu dilakukan ialah memperbaiki kelemahan terutama di bahagian pertahanan selain memanfaatkan segala peluang yang diperolehi untuk meledak jaringan.

Malah, Zainal juga turut tidak menolak kemungkinan untuk memberi peluang kepada muka-muka baharu beraksi dalam kesebelasan utama pasukan dalam kempen Piala Malaysia musim ini.

Disiarkan pada: September 15, 2021 @ 6:51pm
d