Bola Sepak

Cheng Hoe puas hati prestasi anak tempatan di Liga M

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Pengendali skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe berpuas hati dengan persembahan dan prestasi setiap pemain tempatan yang beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Jelas jurulatih berusia 53 tahun itu, beliau dan barisan kejurulatihan negara mengikuti rapat setiap aksi pasukan Liga M khususnya di saingan Liga Super yang baharu berakhir hujung minggu lalu.

Katanya, semua pemain tempatan sudah memberikan aksi terbaik dan beliau mengakui beberapa tonggak turut berjaya menambat hatinya sekali gus berpeluang untuk disenaraikan dalam latihan pusat pada 4-12 Oktober ini.

"Kami (barisan jurulatih skuad Harimau Malaya) memantau setiap perlawanan dan menilai tahap permainan pemain untuk dipanggil pada latihan pusat nanti.

"Secara keseluruhan pemain-pemain tempatan bermain cukup baik dan saya harap mereka yang dipanggil nanti mampu berikan aksi sama dalam latihan.

"Kita mahu beri peluang dan mencuba kombinasi beberapa pemain baru bersama pemain sebelum ini yang akan disenaraikan," katanya yang mahu merahsiakan terlebih dahulu muka baru yang kemungkinan dipanggil nanti.

Sebelum ini, beberapa nama dikaitkan selepas masing-masing memperaga aksi mantap dalam saingan Liga M bersama pasukan seperti dua tonggak muda iaitu pemain sayap Terengganu FC, Muhammad Hakimi Abdullah dan pertahanan tengah Selangor FC, Sharul Nazeem Zulpakar.

Untuk rekod, saingan liga domestik musim ini dimenangi kelab Johor Darul Ta'zim (JDT) yang juga kejuaraan kelapan berturut-turut sejak menjuarainya pada 2014 lalu.

Namun perkara paling membanggakan sepanjang kempen kali ini, adalah keberanian beberapa pasukan mengenengahkan pemain muda dalam pasukan pasukan masing-masing.

Antara pasukan paling mencuri tumpuan sudah tentunya Selangor FC yang berani menurunkan hampir separuh ubi muda selain Terengganu FC dan JDT yang berjaya melahirkan bintang baru seperti Hakimi dan Arif Aiman Hanapi.

Lantas, kemunculan pemain-pemain muda diyakini akan memudahkan tugas Cheng Hoe untuk mencuba kombinasi tenaga baru dalam skuad negara yang bakal menghadapi ujian getir di saingan antarabangsa.

Skuad kebangsaan dijadual mengharungi dua tugasan penting selepas ini iaitu Piala AFF pada Disember serta pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2023 pada Februari depan.

Disiarkan pada: September 15, 2021 @ 8:42pm
d