Bola Sepak

Irfan tuntut pemain Kuching City FC fokus

Oleh Rizar Mohd Noor

Johor Bahru: Pengendali Kuching City FC, Irfan Bakti Abu Salim menuntut kesebelasan utamanya memberi sepenuh tumpuan ketika menentang Terengganu FC II (TFC II) pada aksi tertunda saingan Liga Perdana di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), esok.

Irfan Bakti menegaskan persiapan rapi dilakukan untuk memburu kemenangan bagi menempah slot ke saingan Piala Malaysia tatkala hanya perlu satu kemenangan untuk bersaing di pentas piala tertua di negara dan rantau Asia.

"Saya akan letak barisan pemain terbaik apabila berdepan TFC II, kerana kami mahukan kemenangan dan tidak boleh tewas dalam perlawanan itu nanti. Walaupun saya tahu ia perlawanan sukar tatkala menentang pasukan yang berada di kelompok lima terbaik dalam saingan liga.

"Kalau aksi menentang Kelantan Unifed, Jumaat lalu tidak ditunda dan ditakdirkan kami menang termasuk menang ke atas skuad Projek FAM-MSN, kami sudah layak ke saingan piala berprestij tapi kami terpaksa bertarung dengan TFC II.

"Dan aksi itu nanti, saya akan turunkan pemain yang belum pernah beraksi dalam perlawanan kompetitif dan ada empat atau lima pemain yang belum lagi diturunkan tapi kami perlu senarai pemain yang terbaik untuk capai hasrat tiga mata," katanya.

Seandainya skuad The Cats melakar kemenangan ke atas TFC II, pasukan itu layak ke saingan Piala Malaysia dan akan berada sama ada Kumpulan B bersama Terengganu FC (TFC), Selangor FC dan Perak FC atau Kumpulan B bersama Johor Darul Ta'zim (JDT), PJ City FC dan Sabah FC.

Irfan juga mengingatkan pemainnya supaya tidak terikut-ikut corak permainan skuad kendalian Badrul Afzan Razali sebaliknya sentiasa menutup ruang terutama di posisi tengah bagi mengelak TFC II menguasai posisi berkenaan.

Tambahnya lagi, kelibat pemain import TFC II, Jordan Mintah jika diturunkan mampu beri ancaman terhadap benteng Kuching City FC dan mahu barisan pemain pertahanan yang diterajui Aylton Ananias bagi mengekang asakan pasukan lawan nanti.

"Terengganu akan turun habis-habisan kerana mereka mahu tamatkan saingan liga di tempat ketiga dan kami juga mahu kemenangan untuk layak ke Piala Malaysia. Jadi perlawanan nanti ibarat [final' buat kami dan pemain harus beri yang terbaik," kata Irfan Bakti.

Disiarkan pada: September 16, 2021 @ 12:37pm
d