Bola Sepak

Masalah kecederaan hantui Barca

Oleh AFP

Madrid: Barcelona dihimpit masalah kecederaan yang menimpa Pedri dan Jordi Alba selepa kelab berkenaan membuat pengumuman pagi tadi.

Pedri mengalami kecederaan di bahagian otot paha kiri, manakala ujian yang dilakukan semalam pula mendapati Alba turut mengalami hamstring di bahagian paha kanan.

Barca berkata, kedua-dua pemain tidak akan berada dalam senarai pemilihan skuad dan akan kembali semula selepas pulih.

Ketiadaan dua pemain berkenaan adalah berita yang kurang menyenangkan buat Barca, selepas tumpas 0-3 kepada Bayern Munich semalam dalam perlawanan pembukaan Liga Juara-Juara (UCL).

Alba terpaksa dikeluarkan pada minit ke-74 manakala Pedri berjaya beraksi penuh dalam perlawanan berkenaan.

Pedri, 18, terpaksa berdepan jadual padat dengan keseluruhan aksi musim lalu sebanyak 56 perlawanan, sebelum mewakili Sepanyol di Euro dan Olimpik.

Kedua-dua pemain akan terlepas aksi La Liga di tempat sendiri menentang Granada Selasa depan, sebelum aksi liga diteruskan dengan berdepan Cadiz dan Levante.

Barca selepas itu akan berdepan Benfica dalam perlawanan UCL pada 30 September dan tiga hari kemudian akan menentang Atletico Madrid bagi saingan La Liga.

Disiarkan pada: September 16, 2021 @ 3:13pm
d