Bola Sepak

Undian Piala AFF secara maya, PTSR batal

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Persekutuan Bolasepak Asean (AFF) mengumumkan undian Piala AFF buat kali pertama akan berlangsung secara maya pada 21 September ini.

Menerusi kenyataan media hari ini, AFF memaklumkan keputusan terbabit terpaksa diambil demi memastikan keselamatan semua pihak memandangkan kes pandemik Covid-19 membabitkan beberapa negara masih lagi tinggi.

"Semua pihak berkepentingan akan menyertai undian berkenaan secara maya dengan orang ramai boleh menyaksikannya menerusi platform yang disediakan," katanya.

Kejohanan itu dijadual berlangsung dari 5 Disember hingga 1 Januari depan.

Sementara itu, kalendar bola sepak wanita negara terus suram apabila kejohanan Piala Tun Sharifah Rodziah (PTSR) 2021 yang menjadi idaman kaum hawa di negara ini dibatalkan susulan keputusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Setiausaha Agungnya, Mohd Saifuddin Abu Bakar dalam kenyataannya memaklumkan keputusan Jawatankuasa Bolasepak Wanita itu terpaksa diambil selepas mengambil kira situasi semasa berkaitan pandemik Covid-19.

Kali terakhir piala berkenaan diadakan pada 2019 dengan Melaka berjaya muncul juara selepas menewaskan Kedah 3-1.

Disiarkan pada: September 16, 2021 @ 10:29pm
d