Bola Sepak

Keputusan tolak rayuan NSFC muktamad

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menegaskan keputusan menolak rayuan Negeri Sembilan FC (NSFC) adalah muktamad dan tidak akan berubah.

Walaupun ada usaha dari Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS) untuk merujuk kes berkenaan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), namun MFL tetap dengan pendirian tidak akan melayan sebarang permintaan sekaligus tetap mengekalkan keputusan perlawanan di antara NSFC dan Kelantan FC.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam berkata, pihaknya sudah membuat keputusan yang diputuskan oleh Ahli Lembaga Pengarah MFL sebelum ini. Malah, rayuan yang dibuat NSFC juga sudah ditolak oleh MFL.

"Rayuan ditolak dan keputusan perlawanan tidak akan diubah," katanya ringkas kepada Arena Metro.

Kelmarin, NSFC menerima keputusan rayuan daripada Ahli Lembaga Pengarah MFL berhubung insiden ketika bertemu Kelantan FC di Stadium Sultan Mohammad IV, Kota Bahru pada 27 Ogos lalu.

Surat rayuan PBNS itu dihantar pada 9 September lalu. MFL menjelaskan rayuan ditolak kerana peraturan Kod Tatatertib Fifa yang dirujuk oleh NSFC adalah di luar bidang kuasa MFL.

Mengikut laporan sebelum ini, skuad The Red Warriors (TRW) didapati melakukan empat sesi pertukaran dengan membabitkan lima pemain ketika perlawanan, berbanding hanya tiga sesi dibenarkan mengikut peraturan sehingga memberi impak kepada keputusan aksi terbabit.

Susulan itu, NSFC melakukan bantahan pada 30 Ogos kepada MFL dan menerima keputusannya pada 4 September.

Ia menyaksikan Kelantan FC didenda sebanyak RM30,000 selain amaran keras manakala tindakan turut diambil terhadap komisioner serta pegawai perlawanan.

Dalam masa sama, MFL turut mengekalkan kemenangan 2-1 Kelantan FC dalam perlawanan itu sekali gus menyaksikan tiga mata tetap menjadi milik TRW.

Sementara itu, Stuart turut mengesahkan semua pasukan sudah menyerahkan dokumen permohonan lesen kebangsaan yang berakhir Rabu lalu.

"Permohonan sudah dihantar oleh pasukan dan unit kami sedang meneliti segala dokumen termasuk dokumen yang tertangguh yang perlukan pihak ketiga (seperti dokumen dari LHDN, KWSP dan lain-lain)".

Disiarkan pada: September 17, 2021 @ 5:55pm
d