Bola Sepak

Hilang sakit dapat jersi CR7

Oleh Agensi

Zurich: Marisa Nobile yang kepalanya terkena bola rembatan Cristiano Ronaldo ketika sesi latihan Selasa lalu mendedahkan nasib lebih buruk mungkin menimpanya.

Ketika sesi latihan sebelum Manchester United tewas 1-2 kepada BSC Young Boys dalam aksi Liga Juara-Juara di Switzerland, rembatan Ronaldo ke arah gawang tersasar lalu terkena tepat ke kepala Marisa.

CR7 terus mendapatkan pengawal keselamatan itu ketika dia dirawat petugas perubatan bagi memastikan keadaannya dan meminta maaf. Ronaldo kemudiannya memberikan Marisa jersinya, hadiah yang sangat dihargai wanita itu.

Ketika bercakap kepada media, Marisa mendedahkan dia bimbangkan kematian sehinggalah dia melihat kelibat Ronaldo datang memeriksa keadaan dirinya.

"Apabila bola terkena kepala saya, ia kelajuan sangat tinggi,'' katanya. "Saya hilang ingatan seketika dan rebah. Selepas itu saya lihat Ronaldo di depan saya!, 'Oh tuhan, adakah saya akan mati?'

"Ronaldo berkata: 'Tidak. Maafkan saya, apa yang berlaku, adakah anda ok?' Saya terasa amat sakit. Tetapi apabila melihat Ronaldo, sakit di kepala saya hilang.''

Disiarkan pada: September 17, 2021 @ 7:09pm
d