Bola Sepak

Angkara penyokong, Guardiola sedia undur

Oleh Agensi

London: Pep Guardiola menegaskan dia tidak akan meminta maaf selepas mendesak lebih ramai penyokong menyaksikan perlawanan Manchester City menentang Southampton dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) esok.

Malah dia turut membuat kenyataan mengejutkan apabila berkata: "Jika saya mendatangkan masalah kepada penyokong, saya sedia meletak jawatan.''

Pengurus City itu kelmarin mendedahkan dia lebih suka jumlah penonton lebih ramai untuk perlawanan menentang Southampton berbanding kehadiran 38,062 orang ketika City menewaskan RB Leipzig di Stadium Etihad semalam.

Kenyataan itu tidak disenangi ramai penyokong yang berasakan pengendali itu mempersoalkan kesetiaan mereka.

Setiausaha Agung kelab penyokong rasmi City, Kevin Parker mahu Guardialo lebih bertimbang rasa dengan mengambil kira kesukaran dihadapi penyokong.

Bagaimanapun, Guardiola berkata kenyataannya telah disalah tafsir: "Adakah saya berkata selepas perlawanan saya kecewa stadium tidak penuh?

"Interprestasi adalah interprestasi. Saya tak akan minta maaf apa saya perkatakan. Jika selepas lima musim penyokong masih tidak faham sikap saya, itu kerana mereka memang tidak mahu memahami apa yang saya kata.''

Guardiola berkata dia juga tidak pernah mempersoalkan kesetiaan penyokong City.

"Jika saya mendatangkan masalah kepada penyokong City, saya akan meletak jawatan. Ia bukan masalah kepada saya. Tetapi saya seorang daripada mereka. Sejak hari pertama saya berusaha buat yang terbaik, itu sudah pasti.''

Disiarkan pada: September 17, 2021 @ 10:06pm
d