Bola Sepak

Pele kembali dirawat di ICU

Oleh AFP

Sao Paulo: Legenda bola sepak Brazil, Pele, 80, kembali dipindahkan ke unit rawatan rapi (ICU) selepas berdepan kesukaran untuk bernafas namun kini stabil, kata Hospital Albert Einstein dekat Sao Paulo di mana beliau menjalani pembedahan awal bulan ini.

Prosedur itu adalah 'langkah sementara', tambah hospital berkenaan dalam satu kenyataan.

Ia turut menyatakan legenda bola sepak dunia itu kemudian akan dipindahkan ke unit rawatan separa dalam meneruskan proses pemulihan selepas menjalani pembedahan membuang ketumbuhan kolon.

"Dia kini stabil dalam aspek kardiovaskular dan pernafasan," kata kenyataan itu.

Kenyataan itu hadir selepas anak perempuan Pele, Kely Nascimento memuatnaik gambarnya bersebelahan dengan bapanya di hospital.

"Ini adalah senario pemulihan yang biasa buat lelaki seusia sepertinya. Selepas pembedahan seperti ini, kadangkala anda perlu mengambil dua langkah ke hadapan, satu langkah ke belakang," tulis Kely di Instagram miliknya.

"Dia melalui proses pemulihan dengan baik dan dalam keadaan yang normal."

Pada 6 September lalu, Pele menjalani pembedahan membuang ketumbuhan kolon.

Disiarkan pada: September 18, 2021 @ 7:54am
d