Bola Sepak

NSFC tak rela terlepas peluang juara

Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: Selepas mendapat kepercayaan barisan kejurulatihan apabila kekal berada dalam kesebelasan utama, pemain tengah Negeri Sembilan FC (NSFC), R Barathkumar mahu mencipta sejarah tersendiri menjulang kejuaraan Liga Perdana, musim ini.

Pemain berasal dari Bahau itu tidak rela peluang yang dimiliki skuad Hobin Jang Hobin kali ini terlepas begitu sahaja.

Menurutnya, Negeri Sembilan sudah lama tidak memenangi sebarang kejuaraan dalam liga tempatan selepas kali terakhir memahat nama selaku juara Piala Malaysia pada 2011.

"Menjulang kejuaraan Liga Perdana adalah sasaran saya bersama Negeri Sembilan musim ini selepas mewakili Petaling Jaya City FC selama dua musim berturut-turut sejak 2019.

"Andai diberikan tanggungjawab mengemudi barisan tengah pada pertembungan dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) FC, ini nanti, saya mahu memberikan persembahan terbaik dan membantu pasukan mendapatkan kemenangan.

"Saya akan menggunakan pengalaman berharga beraksi di peringkat liga tertinggi tempatan sebelum ini, untuk membantu pasukan memenangi perlawanan penting, Selasa ini," katanya.

Barathkumar sentiasa mendapat kepercayaan ketua jurulatih K Devan, apabila diturunkan hampir dalam semua perlawanan liga, malah pemain berusia 29 tahun itu yang dicungkil bakatnya daripada skuad Piala Presiden, kini sudah menyumbat empat gol.

Baginya, ini adalah peluang terbaik buat Negeri Sembilan melakar sejarah memahatkan nama sebagai juara Liga Perdana bagi mengembalikan semula reputasi pasukan itu yang kurang menyerlah sebelum ini.

Dia yang pernah meraikan kejayaan memenangi trofi berkenaan pada 2016 ketika mewakili Melaka United FC, juga menyifatkan kejayaan jika dapat dicapai kali ini lebih memberi erti kerana dapat menjulang nama negeri kelahirannya sendiri.

Barathkumar bagaimanapun akui tugas mereka pada Selasa nanti bukan mudah kerana PDRM sudah pasti akan memberikan tentangan sengit kerana mereka juga memerlukan kemenangan bagi melayakkan kiri ke saingan Piala Malaysia.

"Walau bagaimanapun, saya dan rakan dalam pasukan sudah bersedia untuk memperagakan aksi terbaik berpandukan perancangan dan taktikal jurulatih dan saya yakin, walaupun kami akan turun tanpa Francis Kone yang digantung perlawanan, ia tidak akan menjejaskan kekuatan pasukan.

"Saya dan rakan yang lain dalam pasukan ini sudah sedia memberikan komitmen lebih 100 peratus pada pertembungan itu nanti.

"Fokus kami untuk membawa Negeri Sembilan memenangi perlawanan dan seterusnya dapat menjulang kejuaraan liga sekali gus menutup tirai liga musim ini dengan rekod cemerlang," katanya.

Disiarkan pada: September 19, 2021 @ 4:35pm
d