Bola Sepak

Juventus duduki tiga tercorot

Oleh AFP

Milan: Juventus menduduki kelompok tiga terakhir Serie A selepas seri 1-1 dengan AC Milan yang menyekat mereka daripada meraih kemenangan pertama musim ini.

Alvaro Morata meletakkan Juve di depan pada minit keempat tetapi tandukan Ante Rebic menyamakan kedudukan pada minit ke-76 bagi membolehkan Milan menduduki tempat kedua di belakang Inter yang membelasah 6-1 semalam.

Milan nyaris meledak gol kemenangan pada minit akhir perlawanan tetapi penjaga gol Juve, Wojciech Szczesny menyelamatkan gawangnya daripada ditembusi rembatan jarak dekat Pierre Kalulu.

Juventus yang masih lagi terasa perpindahan Cristiano Ronaldo ke Manchester United kini menduduki tempat ke-18 dengan hanya dua mata daripada empat perlawanan manakala Cagliari dan Salernitana di bawah mereka.

Jurulatih Massimiliano Allegri memberikan amaran kepada beberapa bintangnya.

"Anda perlu bersungguh-sungguh, kekal fokus. Ini sebahagian daripada proses perkembangan kepada beberapa pemain lain,'' katanya.

Milan pula yang beraksi tanpa Zlatan Ibrahimovic dan Olivier Giroud tercicir mata buat kali pertama dalam aksi liga musim ini.

Dalam perlawanan lain, Roma tewas kali pertama sejak dikendalikan Jose Mourinho apabila Verona bangkit menghadiahkan kemenangan 3-2 kepada jurulatih baharu mereka, Igor Tudor.

Disiarkan pada: September 20, 2021 @ 8:50am
d