Bola Sepak

Messi sah alami kecederaan lutut

Oleh AFP

Paris: Lionel Messi bakal terlepas aksi bersama Paris Saint Germain (PSG) di gelanggang lawan menentang Metz Khamis ini selepas mengalami kecederaan lutut.

Jurulatih Mauricio Pochettino berkata ia adalah sebab utama beliau terpaksa membuat keputusan mengejut mengeluarkan pemenang enam kali Ballon d'Or itu ketika menentang Lyon hujung minggu lalu.

Bintang Argentina itu melakukan pemeriksaan Magnetic Resonance Imaging (MRI) hari ini selepas mengalami kecederaan di bahagian lutut kiri ketika kelab berkenaan mencatat kemenangan 2-1.

Keputusan pemeriksaan itu menunjukkan petanda bahawa tulangnya membengkak.

Messi digantikan dengan pemain pertahanan, Achraf Hakimi, pada minit ke-76 pada aksi penampilan sulungnya di laman sendiri sejak berpindah dari Barcelona ke PSG.

Pemain berusia 34 tahun itu kelihatan enggan bersalam dengan Pochettino ketika dia berjalan keluar ke bangku simpanan namun bekas pengendali Tottenham mempertahankan keputusan mengeluarkan Messi tanpa menjelaskan mengenai kecederaan berkenaan.

Hari ini beliau mengesahkan tahap kecergasan Messi menjadi sebab utama beliau membuat pertukaran itu tatkala kedudukan masih lagi terikat.

"Ketika berada di tepi padang kita sentiasa memantau pemain, melihat apa yang berlaku dalam perlawanan dan kami melihat Leo memeriksa lututnya.

"Kami gembira dengan cara dia bermain. Dia bermain dengan baik pada separuh masa pertama dan apa yang kurang hanya dia tidak menjaringkan gol," kata Pochettino.

Disiarkan pada: September 21, 2021 @ 10:06pm
d