Bola Sepak

Elavarasan fokus Piala Malaysia

Oleh Rizar Mohd Noor

Johor Bahru: Selepas berakhir saingan Liga Perdana dan Sarawak United FC hanya muncul naib juara, kini pengendalinya, E Elavarasan mahu menumpukan persiapan untuk menghadapi aksi Kumpulan A saingan Piala Malaysia yang akan menyingkap tirai, Jumaat ini.

Apapun, Elavarasan mengakui terpaksa melupakan khidmat penjaga gol, Mohd Sharbinee Allawee Ramli, Amer Saidin dan Badrul Affendy yang digantung beberapa perlawanan namun menganggap ia lumrah dalam permainan bola sepak dan perlu membuat persiapan lebih rapi untuk berdepan pasukan seperti Penang FC, KL City FC dan Sri Pahang FC.

Tambahnya, saingan Piala Malaysia berbeza berbanding saingan liga dan ia lebih sukar memandangkan tiga pasukan dari Liga Super memiliki kelebihan masing-masing, walaupun pemain Sarawak United pernah beraksi di pentas liga elit domestik tapi mereka harus meningkatkan lagi usaha untuk bersaing.

"Saya akui kami akan berdepan pasukan hebat terutama Penang, KL City dan Sri Pahang tapi kami jangkakan Penang merupakan pencabar utama berdasarkan kredibiliti pasukan itu dalam saingan Liga Super malah dua lagi pasukan juga boleh mengundang kesukaran buat kami.

"Apapun tiga pasukan dalam Kumpulan A, semuanya berpengalaman dan ada kelebihan tersendiri dan kami yang baharu dalam kancah Piala Malaysia selepas agak lama Sarawak tidak beraksi dan ia penting kerana beri pendekatan kepada kami yang akan beraksi di Liga Super musim depan sama ada mampu menyaingi pasukan dari liga elit.

"Ia penting kerana dari situ kita akan nilai adakah kita mampu beri cabaran kepada pasukan dari Liga Super dan perlukan penambahbaik dilakukan untuk memantapkan lagi pasukan bagi menghadapi saingan liga lebih kompetitif musim depan. Apapun itu tugas pihak pengurusan sama ada mahu mencari pemain baharu kelak," katanya.

Mengulas mengenai persembahan skuad Enggang Emas yang sekadar seri 1-1 dengan Johor Darul Ta'zim II (JDT II) pada aksi liga di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, semalam Elavarasan tetap berpuas hati dengan corak permainan pemainnya.

Pada perlawanan itu, Sarawak United FC terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Ucha Agba seawal minit keempat namun JDT II bangkit menyamakan jaringan ketika aksi berbaki enam minit untuk ditamatkan oleh pemain gantian, Stuart Wilkin.

Disiarkan pada: September 22, 2021 @ 2:07pm
d