Bola Sepak

Piala Malaysia: Selangor pertaruh skuad terkuat

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Menjelang sepak mula Piala Malaysia Ahad ini, Selangor FC menerima berita gembira apabila beberapa pemain utama yang mengalami kecederaan bersedia untuk dipertaruhkan pada aksi pertama menentang Perak FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

Pengurus pasukan, Mahfizul Rusydin Abdul Rashid berkata, masalah kecederaan yang membelenggu pasukan dilihat sedikit sebanyak mengganggu rentak pasukan pada pertengahan saingan Liga Super sebelum ini.

Namun selepas sesi rawatan dan pemulihan dijalankan selama beberapa bulan, dua tonggak import iaitu Safuwan Baharudin dan Tim Heubach dijangka kembali membarisi kesebelasan utama skuad Red Giants.

"Beberapa pemain yang alami kecederaan panjang seperti Safuwan dan Tim dah nampak kembali normal, dan mungkin akan bermain semula nanti.

"Ini satu petanda baik buat pasukan di mana kita menyasarkan untuk layak ke suku akhir terlebih dulu dan kemudian baru melihat peluang ke peringkat seterusnya.

"Sudah tentu kita mahu melangkah lebih jauh dan kehadiran pemain-pemain ini dapat beri keseimbangan dan menambah pilihan buat jurulatih apabila Piala Malaysia bermula Ahad ini menentang Perak," katanya kepada Arena Metro.

Dalam saingan Piala Malaysia edisi ke-100 tahun ini, juara sebanyak 33 kali itu diletakkan dalam kumpulan 'maut' bersama Terengganu FC, Perak FC dan Kuching FC dari Kumpulan B.

Menurut Mahfizul, kemenangan ke atas skuad The Bos Gaurus dianggap mustahak bagi menambah keyakinan pasukan sebelum turun menentang Terengganu FC selepas itu.

"Perlawanan kedua agak sukar apabila bertemu Terengganu, justeru pemain perlu cuba meraih keputusan positif ketika menentang Perak nanti.

"Kita jangka aksi dengan Terengganu pasti sukar dan kita perlu raih tiga mata pada hujung minggu ini," katanya.

Disiarkan pada: September 22, 2021 @ 5:34pm
d