Bola Sepak

Umur 60 tahun masih 'steady' main bola

Oleh AFP

Paramaribo: Naib Presiden Suriname, Ronnie Brunswijk berehat seketika daripada dunia politik dengan beraksi dalam satu perlawanan bola sepak bersama pasukan pro yang bersaing di Liga CONCACAF di usia 60 tahun.

Brunswijk memegang jawatan kedua penting di belakang presiden tetapi kali ini dia mewakli pasukan bola sepak Inter Moengotapoe di mana dia adalah pemilik pasukan berkenaan.

Brunswijk beraksi selama 54 minit yang menyaksikan Inter Moengotapoe tewas 0-6 kepada CD Olimpia dari Honduras dekat ibu negara Suriname, Paramaribo.

Memakai jersi bernombor 61 sebagai simbolik tahun kelahirannya pada 1961, naib presiden itu beraksi di posisi serangan bersama-sama Damian Brunswijk yang juga anak lelakinya.

"Ronnie Brunswijk (Naib Presiden Suriname dan Presiden Inter Moengotapoe) muncul pemain tertua (60 tahun dan 198 hari) beraksi di perlawanan antarabangsa bersama kelab," kata seorang pengulas sukan dikenali sebagai 'MisterChip' di Twitter.

Bekas seorang askar berpangkat sarjan, Brunswijk terbabit dengan perang saudara Suriname pada tahun 1980-an menentang pemimpin diktator ketika itu, Desi Bouterse.

Kini, Brunswijk adalah seorang ahli perniagaan berjaya selain seorang ahli politik.

Bagaimanapun pada tahun 1999 dia didapati bersalah kerana terbabit dengan kesalahan mengedar dadah dan dijatuhkan hukuman penjara selama lapan tahun oleh mahkamah di Belanda, bekas negara yang pernah menjajah Suriname.

Disiarkan pada: September 22, 2021 @ 10:25pm
d