Bola Sepak

Skuad wanita bangkit benam Palestin

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Skuad bola sepak wanita negara bangkit daripada kekalahan pertama apabila menjadikan Palestin mangsa kebangkitan dengan membenam lawan 2-0 dalam aksi kedua Kumpulan H Kelayakan Piala Asia 2022 di Stadium Faisal Al-Husseini, Tebing Barat di Palestin, sebentar tadi.

Kejayaan meraih tiga mata itu cukup bermakna selepas skuad negara tewas 0-4 di tangan Thailand sebelum ini.

Dua gol Malaysia diperolehi pada babak kedua menerusi Andrea Lee pada minit ke-57 sebelum ketua pasukan, Steffi Sarge Kaur menggandakan kelebihan pada minit 81.

Begitupun, kemenangan berkenaan masih belum mampu membawa skuad negara ke pusingan akhir Piala Asia di India tahun depan apabila dijangka Thailand bakal menamatkan kedudukan di tangga pertama kumpulan.

Menerusi format kelayakan itu, hanya juara kumpulan saja akan layak secara automatik ke peringkat seterusnya.

Berdasarkan kedudukan terkini, skuad negara dan Thailand mengumpul tiga mata namun berada di tangga kedua di belakang skuad Gajah Perang itu yang memiliki kelebihan gol.

Thailand akan melengkapkan aksi terakhir Sabtu ini dengan menentang Palestin dan dijangka mudah melepasi halangan tuan rumah, sekali gus muncul juara kumpulan.

Disiarkan pada: September 22, 2021 @ 11:20pm
d