Bola Sepak

Langkawi City jalin kerjasama dengan Dortmund

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Kelab Liga M3 tempatan, Langkawi City FC mengorak langkah setapak ke hadapan apabila menjalinkan kerjasama dengan pasukan gergasi Eropah dan Jerman, Borussia Dortmund dalam usaha memperkukuhkan kedudukan pasukan itu pada masa depan.

Menerusi perjanjian selama dua tahun bermula 1 September 2021 hingga 21 Disember 2023 itu, Borussia Dortmund bukan saja akan berkongsi kepakaran dalam pembangunan bola sepak peringkat remaja, malah pemain Langkawi City FC juga berpeluang berlatih dan menimba pengalaman di Dortmund.

Penaung kelab yang juga Mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad antara yang gembira dengan kerjasama itu dan percaya pasukan Langkawi City bakal meraih manfaat besar menerusi perjanjian itu.

"Borussia Dortmund adalah jenama global yang berjaya dan banyak perkara yang dapat dipelajari oleh Langkawi City FC dari kerjasama ini. Langkawi adalah pulau yang indah dan pelancongan adalah salah satu industri utamanya.

"Saya berharap agar kerjasama ini dapat memberi manfaat kepada masyarakat Langkawi khususnya golongan belia. Saya mengucapkan selamat maju jaya dalam dan luar padang," katanya.

Untuk rekod, Langkawi City FC adalah kelab yang beraksi dalam divisyen tiga Liga Malaysia.

Fokus utama kerjasama kedua-dua pihak membabitkan pembangunan di peringkat akar umbi dengan tumpuan kepada belia di pulau peranginan itu.

Selain itu, Langkawi City FC juga akan menyertai siri pertandingan peringkat belia bersama pelatih akademi Borussia Dortmund dan pertukaran program pendidikan serta pelancongan sukan antara kedua-dua organisasi.

Disiarkan pada: September 23, 2021 @ 12:04pm
d