Bola Sepak

Suku akhir sudah OK, asal jangan jadi 'lauk'

Oleh Siti Rohana Idris

Kota Bharu: Berjaya mara untuk saingan Piala Malaysia membuktikan Kelantan FC bukan pasukan yang boleh dipandang sebelah mata.

Pemilik Kelab Bolasepak Kelantan (Kelantan FC), Norizam Tukiman berkata, dengan prestasi pemain yang cemerlang pada aksi terakhir Liga Perdana Selasa lalu, tidak mustahil pasukannya mampu memberi cabaran kepada pasukan lawan.

"Apabila dapat (pasukan) lawan yang kuat, kita main bersungguh-sungguh dan untuk saingan Piala Malaysia nanti, juga diharapkan dapat main bersungguh-sungguh.

"Kalau dapat main seperti perlawanan akhir baru-baru ini, rasanya tak mustahil untuk kita berikan satu cabaran dan buktikan Kelantan FC bukan pasukan yang boleh dipandang sebelah mata," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Sebagai pasukan yang dianggap dalam fasa 'baikpulih' Norizam atau lebih dikenali sebagai Zamsaham bagaimanapun tidak meletakkan sasaran terlalu tinggi buat pasukannya.

Cukup sekiranya berjaya melepasi suku akhir, beliau berkata, pencapaian itu sudah memadai bagi Kelantan FC asalkan tidak menjadi 'lauk' kepada pasukan hebat lain.

"Ini tahun pertama saya ambil alih sepenuhnya jadi dengan kelayakan kita masuk ke saingan Piala Malaysia, satu benda yang baik.

"Kita kelab baharu dan saya sasarkan dapat lepas suku akhir pun sudah OK, maksudnya melepasi saringan sebab lawan pasukan yang kuat," katanya.

Disiarkan pada: September 23, 2021 @ 12:31pm
d