Bola Sepak

Sarawak United mahu lupakan kekecewaan

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Saingan Piala Malaysia kini menjadi fokus buat Sarawak United FC selepas usaha mereka untuk merangkul kejuaraan Liga Perdana terkandas di penghujung saingan.

Menurut pemain sayap Sarawak United FC, S Chanturu, dia dan rakan-rakan mahu segera melupakan kekecewaan itu dengan segera memberikan fokus kepada saingan Piala Malaysia yang akan bermula hujung minggu ini.

Sarawak United FC bakal berada dalam Kumpulan A bersama Penang FC, Kuala Lumpur City FC dan Sri Pahang FC dengan perlawanan pertama akan berlangsung di Stadium Bandaraya berdepan Penang FC, Ahad ini.

"Kami berada terbaik sejak perlawanan pertama liga dan sentiasa meraih kemenangan tetapi pada tiga perlawanan terakhir ini, kami seperti hilang fokus.

"Pemain-pemain mencuba sedaya upaya dengan berikan lebih 100 peratus cuma nasib jelas tidak menyebelahi kami namun apa yang penting kami sudah berada di Liga Super, musim depan.

"Sarawak akan cuba berikan cabaran di Piala Malaysia dan saya rasa kami boleh bersaing dengan pasukan-pasukan dalam kumpulan kami yang terdiri dari semua pasukan Liga Super.

"Jika dilihat kepada kualiti pemain dalam pasukan, tahap kami sememangnya sama dengan pasukan Liga Super dan Sarawak akan cuba letakkan sasaran untuk layak sejauh mana yang boleh, " katanya.

Kegagalan meraih sebarang kemenangan dalam tiga perlawanan terakhir menjadi punca di sebalik kekecewaan Sarawak United yang terpaksa merelakan Negeri Sembilan FC bergelar juara Liga Perdana musim ini.

Hakikat itu dikongsikan ketua pasukan Sarawak United, Taylor Regan, yang berasakan pasukannya layak dinobatkan naib juara Liga Perdana selepas melepaskan kelebihan lima mata yang dimiliki ke atas Negeri Sembilan.

Dia serta rakan sepasukan sememangnya tidak gembira dengan apa yang terjadi namun dalam masa sama dia akui kejayaan ke Liga Super sebagai sesuatu yang membanggakan selepas bekerja keras sepanjang musim.

"Kami sememangnya tidak gembira kerana kami pada mulanya berada di tangga teratas dan segala-galanya cukup selesa dalam kawalan kami untuk muncul juara liga.

Mungkin apa yang terjadi dengan pasukan pada perlawanan terakhir ada memberikan sedikit kesan tetapi saya tidak mahu berikan sebarang alasan di sebalik kegagalan kami.

"Tahniah kepada Negeri Sembilan kerana muncul juara dan secara keseluruhan, kami layak untuk berada di tempat kedua pada musim ini berbanding mereka.

"Kepada penyokong Sarawak, terima kasih di atas sokongan anda semua malah saya hargai dengan segala kata-kata penghargaan dalam beberapa hari ini, kami sudah cuba sedaya upaya untuk menang dan sekarang kami akan cuba melakar sesuatu di Piala Malaysia," kata Regan.

Dalam perlawanan terakhir kelmarin, hasrat Sarawak United untuk meraih kejuaraan berkubur selepas Negeri Sembilan menang 4-2 ke atas PDRM FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi manakala mereka sekadar seri 1-1 dengan Johor Darul Ta'zim (JDT) II di Stadium Dato Tan Sri Hj Hassan Yunos, Larkin.

Disiarkan pada: September 23, 2021 @ 3:42pm
d