Bola Sepak

Iniesta bayangkan Xavi pengendali Barca

Oleh Agensi

Madrid: Legenda Barcelona, Andres Iniesta menjangkakan bekas rakan sepasukan di barisan tengah, Xavi akan menjadi ketua jurulatih baharu kelab itu pada masa hadapan.

Xavi dipercayai salah seorang daripada senarai lima calon utama dalam kelab Catalan itu sebagai menggantikan pengurus sekarang, Ronald Koeman dari Belanda.

Xavi, 41, mempelajari selok-belok pengurusan sejak 2019 bersama kelab Qatar, Al Sadd, dan Iniesta percaya bekas rakan sepasukannya di Sepanyol itu cukup bersedia untuk mengambil langkah seterusnya dalam karier kejurulatihan.

"Saya fikir [dia sudah bersedia], ya. Jika anda tanya saya adakah saya membayangkan Xavi berada di tempat duduk Barca. Yang utamanya kerana dia sudah bersedia untuk melatih Barca. Dia mempunyai keyakinan untuk memikul cabaran ini." kata Iniesta.

Xavi dan Iniesta mempunyai kombinasi 1,441 penampilan dalam semua kejohanan bersama Barcelona, memenangi tujuh kejuaraan La Liga dan empat mahkota Liga Juara-Juara bersama dalam satu pasukan.

Disiarkan pada: September 23, 2021 @ 10:33pm
d