Bola Sepak

'Pertembungan' FAM, Maybank gamit nostalgia lama

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Pernah menjadi 'kilang' melahirkan pemain berbakat negara suatu ketika dulu, jasa Maybank dalam arena bola sepak tempatan cukup besar dan tidak pernah dilupakan.

Ramai pemain-pemain ternama pernah dilahirkan syarikat perbankan terbesar rantau ini seperti Nazari Hussein dan R Kanan yang muncul antara tonggak utama dalam pasukan Kelantan dan Selangor pada era 90an dulu.

Malah, penglibatan Maybank bukan sekadar melahirkan pemain-pemain berwibawa tetapi mereka turut sering tampil menjadi penaja dalam mana-mana kejohanan sukan termasuk bola sepak yang juga sukan nombor satu di negara ini.

Lantas bagi mengingati dan menyingkap nostalgia lama itu, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengambil inisiatif dengan mengadakan satu perlawanan persahabatan antara pasukan Pilihan FAM dan pasukan Pilihan Maybank yang berlangsung di Wisma FAM, di Kelana Jaya, semalam.

Menurut Naib Presiden FAM, Mohd Firdaus Mohamed, badan induk bola sepak tempatan itu sentiasa mengenang dan mengigati penglibatan aktif Maybank dalam membantu menaikkan mutu dan kualiti bola sepak di negara ini.

Malah katanya, Presiden FAM iaitu Datuk Hamidin Mohd Amin sendiri amat menyokong dan menggalakkan agar program-program seperti ini dapat dilakukan untuk menjalin hubungan baik dan erat dengan semua pihak termasuk badan korporat menerusi tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat-syarikat.

"Datuk Presiden (Hamidin) mahu program seperti CSR ini diaktifkan terutama membabitkan bekas-bekas pemain.

"Kita tahu Maybank antara yang ramai lahirkan pemain bola sepak buat negara yang ramai beraksi dalam liga kita suatu ketika dulu. Jadi sumbangan mereka kita tidak pernah lupakan.

"Maybank juga antara rakan kongsi kita yang banyak menyumbang dalam pelbagai aspek. Kemudahan dan fasiliti sukan yang dimiliki Maybank juga antara yang terbaik di negara ini, jadi kita harap mereka akan terus membantu industri bola sepak berkembang," katanya kepada Arena Metro.

Dalam aksi itu, pasukan Pilihan FAM berjaya menundukkan pasukan Pilihan Maybank dengan 5-3 dengan kesemua gol Pilihan FAM disumbangkan bekas penjaring terbanyak Liga Perdana 2010, Zamri Hassan yang beraksi buat PKNS FC ketika itu.

Antara bekas pemain yang menguatkan pasukan Pilihan FAM seperti bekas tonggak Selangor dan Sabah, Shahril Arsat; bekas pemain kebangsaan dan bekas penolong jurulatih Harimau Malaya, Wan Mustafa Wan Ismail; bekas pemain Kuala Lumpur, Datuk Ramlan Askolani; Exco FAM, Syed Yazid Syed Omar dan Firdaus Mohamed sendiri turut beraksi.

Dalam perkembangan sama, beliau turut menzahirkan ucapan takziah buat mendiang keluarga bekas jurulatih kebangsaan, Ken Worden yang meninggal dunia pada Isnin lalu.

"Perlawanan persahabatan ini juga sempena mengigati mendiang Ken Worden yang pernah membimbing pasukan negara dari 1992 hingga 1993," katanya yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Melayu Malaysia (PBMM).

Ken Worden disahkan meninggal dunia pada Isnin lalu pada usia 78 tahun. Selain bersama Harimau Malaya, beliau juga pernah menabur bakti dengan beberapa pasukan Liga Malaysia seperti Selangor, Sabah dan Terengganu.

Disiarkan pada: September 26, 2021 @ 7:20pm
d