Bola Sepak

Messi akhirnya ledak gol

Oleh AFP

Paris: Lionel Messi menjaringkan gol pertama untuk Paris Saint-Germain (PSG) ketika menewaskan Manchester City 2-0 yang dibimbing oleh bekas pengendalinya, Pep Guardiola pada saingan Liga Juara-Juara, hari ini.

Gol Messi menarik apabila dia bergandingan bersama Kylian Mbappe dalam kotak penalti sebelum memperdaya Aymeric Laporte dan merembat deras masuk ke gawang gol City.

Ia mencetuskan kemeriahan di Parc des Princes apabila penyokong PSG meraikan pemenang enam kali anugerah Ballon d'Or itu menjaringkan gol pertama sejak menyertai kelab berkenaan Ogos lalu.

"Paling penting adalah memenangi perlawanan ini bertemu lawan yang hebat dan salah satu pasukan pilihan," kata Messi kepada stesen penyiar Canal Plus.

"Memang benar saya agak terdesak untuk menjaringkan gol pertama. Saya tidak banyak beraksi sejak kebelakangan ini dan hanya pernah sekali beraksi di tempat sendiri."

Idrissa Gana Gueye yang dilabel pemain terbaik PSG musim ini, meletakkan tuan rumah di depan sekali gus memaksa City mencari gol penyamaan.

Skuad bimbingan Guardiola yang menewaskan gergasi Perancis itu pada aksi separuh akhir musim lalu sebelum tewas di pentas final, mendominasi hampir keseluruhan perlawanan namun gagal mencari penyudah tepat.

"Kami menguasai permainan dan malangnya kami gagal menjaringkan gol. Inilah bola sepak. Tidak banyak yang ingin saya katakan selain memuji aksi pasukan," kata Guardiola kepada BT Sport.

Disiarkan pada: September 29, 2021 @ 7:37am
d