Bola Sepak

Ronaldo penyelamat Man United

Oleh AFP

Manchester: Ole Gunnar Solskjaer mengakui Manchester United 'memperoleh tuah' selepas Cristiano Ronaldo yang melakukan penampilan ke-178 di Liga Juara-Juara menyumbang gol kemenangan minit ke-95 ketika menewaskan Villarreal 2-1 di Old Trafford, hari ini.

Pemenang anugerah Ballon d'Or sebanyak lima kali itu tidak banyak memberi ancaman sehinggalah dia menewaskan penjaga gol Villarreal, Geronimo Rulli untuk gol kelimanya sejak kembali ke United.

Skuad bimbingan Solskjaer tampak bakal tersingkir awal di peringkat kumpulan selepas ketinggalan di awal separuh masa kedua selepas Paco Alcacer meledak gol untuk pasukan pelawat.

Alex Telles bagaimanapun menyamakan kedudukan namun United dilihat hanya mampu mengutip satu mata dalam Kumpulan F sehinggalan Ronaldo meledak gol kemenangan.

"Inilah yang berlaku di Old Trafford, kami perlu sentiasa berwaspada dan akhirnya memperoleh tuah di hujung perlawanan.

"Apabila anda ada Cristiano di atas padang, anda akan sentiasa memperoleh peluang," kata Solskjaer.

Bagaimanapun hampir 95 minit permainan Villarreal sebenarnya adalah pasukan lebih baik berbanding United.

Namun mereka gagal memanfaatkan peluang sekali gus menduduki tangga tercorot peringkat kumpulan dengan hanya mengumpul satu mata daripada dua perlawanan.

"Kami mempamerkan aksi sempurna. Kami mendahului, mencipta peluang dan lebih baik berbanding Man United di Old Trafford," kata pertahanan Villarreal, Pau Torres.

United turun tanpa tiga daripada empat pertahanan mereka dengan Harry Maguire dan Luke Shaw diketepikan akibat kecederaan manakala Aaron Wan-Bissaka digantung perlawanan selepas di buang padang ketika tewas 1-2 kepada Young Boys pada perlawanan pertama.

Disiarkan pada: September 30, 2021 @ 7:17am
d