Bola Sepak

Bayern mengamuk belasah Kiev

Oleh AFP

Munich: Robert Lewandowski meledak dua gol untuk kali kedua berturut-turut di pentas Liga Juara-Juara musim ini ketika membantu Bayern Munich membelasah Dynamo Kiev 5-0, hari ini.

Lewandowski meraih gol peribadi ke-76 dan 77 di Liga Juara-Juara pada separuh masa pertama sebelum Serge Gnabry, Leroy Sane dan Eric Maxim Choupo-Moting masing-masing menyumbang gol di babak kedua.

Lewandowski turut meledak dua gol ketika menewaskan Barcelona 3-0 dua minggu lalu.

Secara keseluruhan, dia sudah menjaringkan 24 gol sepanjang 18 penampilan terakhir di Liga Juara-Juara sekali gus mencerahkan peluang untuk memenangi anugerah Ballon d'Or pada tahun ini.

Keputusan itu bermakna Bayern menduduki tangga teratas Kumpulan E dengan kelebihan dua mata berbanding Benfica yang menewaskan Barcelona 3-0 di Lisbon, hari ini.

"Kami beraksi dengan baik. Kami bertahan dengan baik dan mendominasi permainan selain dapat melakukan penyudah dengan baik," kata Sane.

Pemain berusia 25 tahun itu dilihat menjaringkan gol menarik dengan merembat bola memasuki gawang gol lawan dari jarak jauh namun dia mengakui ia adalah secara kebetulan.

"Saya sebenarnya hanya mahu melorongkan bola. Teknik saya tak berapa bagus," katanya.

Disiarkan pada: September 30, 2021 @ 8:46am
d