Bola Sepak

Pertemuan Liverpool, Man City tarik perhatian

Oleh AFP

Manchester: Liverpool dan Manchester City kembali bersaing untuk merebut tempat teratas Liga Perdana hujung minggu ini sementara Chelsea dan Manchester United berhasrat untuk kembali memberikan cabaran dalam perebutan gelaran juara liga.

Di bawah kendalian Pep Guardiola dan Jurgen Klopp, City dan Liverpool menjadi pasukan paling dominan dalam bola sepak Inggeris, berkongsi empat gelaran Liga Perdana antara mereka.

City menang tiga daripadanya memberi amaran kepada pencabar lain bahawa mereka mampu untuk mempertahankan mahkota itu selepas menewaskan Chelsea 1-0 minggu lalu.

Namun Liverpool yang masih kekal dengan rekod tanpa kalah sepanjang enam perlawanan, kini satu mata di depan City, Chelsea dan United biarpun mereka terlepas dua mata ketika berdepan Brentford minggu lalu.

City menamatkan penantian sekian lama untuk menewaskan Liverpool dengan cara cukup bergaya apabila menang 4-1 pada Februari lalu namun mereka belum berjaya mencatatkan kemenangan di Anfield sejak 2003.

Keletihan akan menjadi halangan utama buat skuad Guardiola selepas menempuh minggu yang padat.

Tiga hari selepas menang di Stamford Bridge, juara England itu tewas 2-0 kepada Paris Saint-Germain di ibu kota Perancis.

Manakala Liverpool pula menang bergaya 5-1 dalam Liga Juara-Juara menewaskan Porto.

Bagaimanapun skuad Reds akan turun tanpa pertahanan kanan, Trent Alexander-Arnold kerana masih bergelut dengan masalah kecederaan pangkal paha.

"Jelas apabila anda ada kecederaan di bahagian otot, sukar untuk bermain pada Ahad," kata Klopp. "Tiada kecederaan otot yang pulih secepat itu."

Disiarkan pada: October 1, 2021 @ 12:55pm
d