Bola Sepak

Kewangan semakin parah, Barcelona 'muflis'

Oleh AFP

Barcelona: Ketua eksekutif Barcelona, Ferran Reverter berkata bahawa kelab itu 'secara teknikalnya muflis' apabila Joan Laporta mengambil alih jawatan presiden pada Mac dan akan 'dibubarkan' jika ia adalah syarikat berhad.

Masalah kewangan gergasi Sepanyol itu bertambah parah pada Ogos lalu apabila mereka terpaksa membiarkan Lionel Messi menyertai Paris Saint-Germain selepas mengakui mereka tidak lagi mampu mengekalkan pemain terbaik dunia sebanyak enam kali untuk tahun ini.

Barisan ahli lembaga baru mewarisi hutang sebanyak 1.35 juta euros (RM6.5 juta) dan gaji pemain juga berdepan masalah ketika Laporta kembali buat kali kedua sebagai presiden selepas peletakan jawatan Josep Maria Bartomeu.

"Sekiranya kelab adalah syarikat berhad ia akan dibubarkan," kata Reverter pada sidang media di mana dia memaklumkan hasil audit yang dilakukan oleh kumpulan Deloitte.

"Pada bulan Mac 2021 kami berada dalam situasi muflis secara teknikalnya tapi sebagai persatuan sukan kami dapat membiayai kembali hutang," jelas Reverter yang mendedahkan kelab berdepan masalah untuk membayar gaji pemain kerana aliran tunai yang hampir kosong.

Untuk mengatasi masalah dalam jangka masa pendek, pegawai mengambil pinjaman sebanyak 80 juta euro (RM 386.49 juta) "untuk menanggung tanggungjawab yang sepatutnya bagi tempoh 90 hari dan membiayai semula hutang sebanyak 595 juta euro (RM2,874 juta).

Barcelona mengesahkan mengalami kerugian 481 juta euro (RM2,323 juta) musim lalu yang mana ia lebih tinggi daripada yang dijangkakan.

Menurut Reverter, audit mengkaji kewangan kelab dari 2018/19 hingga Mac 2021, mendapati terdapat masalah dalam pentadbiran yang serius dan pengarah membeli pemain dengan nilai yang jauh daripada realiti.

Bartomeu terpaksa mengundur diri pada Oktober tahun lalu berikutan tekanan daripada penyokong dan orang ramai dan kegagalannya menyelesaikan masalah untuk meyakinkan Messi terus kekal bersama kelab itu.

"Ketika mereka menandatangani pemain mereka tidak memikirkan sama ada dapat membayarnya atau tidak. Pada malam yang sama ketika (Antoine) Griezmann ditandatangani mereka menyedari bahawa tiada wang untuknya dan mereka perlu meminta lebih banyak dana."

Disiarkan pada: October 7, 2021 @ 8:24am
d