Bola Sepak

Beri masa Harimau Malaya bentuk keserasian

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Majoriti pemain yang menyahut panggilan skuad Harimau Malaya kali ini adalah mereka yang memiliki minit permainan yang banyak dalam saingan Liga Malaysia (Liga M).

Begitupun ia bukan jaminan bahawa skuad negara akan menyinar dalam tempoh sekelip mata dan ia terbukti apabila skuad kendalian Tan Cheng Hoe tewas 0-4 kepada Jordan malam tadi.

Lantas pengurus pasukan, Datuk Mohd Yusof Mahadi meminta semua pihak terutamanya peminat agar memberi masa buat barisan kejurulatihan negara bagi membentuk skuad terbaik untuk mengharungi baki aksi antarabangsa selepas ini.

"Sebelum ini peminat mahu pemain yang ada minit permainan dalam pasukan, dan sekarang kita dah bawa kelompok pemain terbaik dalam liga kita.

"Gandingan pemain ini sebenarnya memang gandingan yang bagus di kelab masing-masing tetapi ia mungkin belum cukup bagus di peringkat antarabangsa lagi.

"Jadi untuk bagus di peringkat antarabangsa, kita kenalah bagi masa kepada pasukan dulu. Jangan ingat bagus di kelab tiba-tiba akan bagus di peringkat antarabangsa, di mana intensiti permainan sangat tinggi dan berbeza.

"Kita tengah mencuba mencari solusi terbaik terutama menjelang Piala AFF nanti dan ini adalah masa untuk menilai pemain yang dipanggil kali ini," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Sebelum ini, peminat atau netizen di laman sosial mengkritik aksi hambar skuad negara di Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Jun lalu dengan mendesak perubahan besar dilakukan dengan memanggil pemain yang memiliki minit permainan banyak di liga tempatan.

Seruan itu kemudiannya disahut Cheng Hoe apabila memanggil ramai muka baharu yang mencatatkan minit permainan yang tinggi bersama kelab masing-masing sambil menggugurkan beberapa pemain utama Harimau Malaya yang kurang mendapat tempat dalam liga.

Hasilnya pasukan negara dilihat gagal menyayangi kepantasan Jordan dalam aksi persahabatan di Stadium Raja Abdullah II dan dijadual meneruskan siri aksi ujian kedua menentang Uzbekistan pada Sabtu ini.

Disiarkan pada: October 7, 2021 @ 5:14pm
d