Bola Sepak

Newcastle kini kelab terkaya di dunia

Oleh Agensi

London: Pemilik baharu Newcastle United mahu menjadikan kelab itu kuasa besar seperti Manchester City dan Paris Saint-Germain selepas melengkapkan pengambil alihan bernilai £305 juta (RM1.73 bilion).

Bercakap kepada media, pemilik bersama Amanda Staveley mendedahkan visi konsortium terbabit yang mendapat sokongan Dana Pelaburan Awam (PIF) Arab Saudi berjumlah £320 bilion (RM1.822 trilion).

Magpies kini muncul kelab bola sepak terkaya di dunia dengan pembelian mega itu diraikan ribuan penyokong mereka di St James' Park.

Amanda berkata: 'Sudah tentu kami mempunyai hasrat sama dengan Manchester City dan PSG dari segi trofi, sudah pasti tetapi ia akan mengambil masa.

'Adakah kami mahu menjuarai Liga Perdana dalam masa lima atau 10 tahun? Ya. Pengambil alihan ini adalah transformasi yang besar. Kami mahu mendapatkan trofi tetapi kejayaan perlukan pelaburan, masa, kesabaran dan kerjasama.'

Ketua jurulatih, Steve Bruce dijangka kehilangan jawatan dan media difahamkan pemilik baharu sedia membayar £8 juta (RM45.56 juta) untuk memecatnya.

Disiarkan pada: October 8, 2021 @ 6:53pm