Bola Sepak

Ballon d'Or: Messi, Ronaldo tercalon lagi

Oleh AFP

Paris: Pemenang enam kali, Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo, pemenang lima kali, adalah antara 30 nama berada dalam senarai calon untuk memenangi anugerah Ballon d'Or.

Antara nama terkemuka lain termasuklah Kylian Mbappe, Neymar, Karim Benzema, Jorginho dan N'Golo Kante yang menjadi pilihan memenangi anugerah berprestij itu yang didedahkan oleh majalah France Football.

Anugerah itu tidak dimenangi oleh mana-mana pemain pada tahun lalu berikutan pandemik Covid-19.

Ia akan berlangsung di Paris pada 29 November.

Messi memenangi Copa America bersama Argentina manakala rakan sepasukannya di PSG, Mbappe dan Neymar membantu kelab gergasi Perancis itu melangkah ke separuh akhir Liga Juara-Juara musim lalu.

Pemain tengah Itali, Jorginho berada dalam senarai selepas membantu Chelsea memenangi Liga Juara-Juara selain menjadi watak penting membantu Itali memenangi saingan Euro 2020.

Rakan sepasukannya di Chelsea, Kante adalah pemain terbaik pada aksi separuh akhir dan final Liga Juara-Juara.

Ronaldo yang menduduki tangga ketiga anugerah berkenaan pada 2019 di belakang Messi dan bintang Liverpool, Virgil van Dijk, menyaksikan bekas rakan sepasukannya di Real Madrid, Karim Benzema turut tersenarai.

Bintang Bayern Munich, Robert Lewandowski, penjaring terbanyak Eropah dengan 41 gol serta pemain Dortmund, Erling Braut Haaland iaitu penjaring terbanyak Liga Juara-Juara dengan 10 gol, juga menjadi pilihan untuk memenangi anugerah berprestij itu.

Disiarkan pada: October 9, 2021 @ 8:22am
d