Bola Sepak

Idam bantu Perak bangkit di Piala Malaysia

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Bekas pertahanan skuad Harimau Malaya, Amirul Azhan Aznan berazam untuk membantu Perak FC mara sekurang-kurangnya ke suku akhir Piala Malaysia musim ini.

Katanya, dengan pelbagai isu yang melanda skuad The Bos Gaurus termasuk tersingkir ke Liga Perdana musim depan, menempah laluan sebagai lapan pasukan terbaik Piala Malaysia boleh dianggap pencapaian terbaik Perak musim ini.

"Tetapi, semua tahu macam mana kami cukup bergelut untuk bersaing pada musim ini, jadi bagi saya, kalau mampu melepasi ke suku akhir pun sudah memadai untuk kami.

"Saya boleh katakan tidak semestinya kalau kami lemah di saingan liga, kami juga akan lemah di Piala Malaysia, apa-apa sahaja boleh berlaku dan mungkin Perak akan mampu beraksi lebih baik dalam kejohanan ini untuk sekurang-kurangnya ke suku akhir.

"Bukan apa, Piala Malaysia ini mempunyai aura yang lain daripada lain, jadi kadang-kadang kita tidak boleh nak jangka apa yang akan berlaku dan saya harap apa yang kami akan capai dalam kejohanan ini dapat beri lebih semangat untuk pasukan bersedia hadapi Liga Perdana musim depan," katanya.

Jelasnya lagi, tempoh rehat selama sebulan bagi memberi laluan kepada aksi antarabangsa digunakan sebaiknya oleh barisan kejurulatihan pasukan dengan tumpuan latihan diberikan kepada aspek serangan yang masih menjadi kelemahan utama ketika ini.

"Sekarang kami sudah kembali berlatih dan jurulatih (Shahril Nizam Khalil) ada mengatakan perancangan untuk mengadakan dua perlawanan persahabatan, cuma kami tidak pasti lagi akan menentang pasukan mana.

"Kalau nak lihat balik dua perlawanan lepas, memang kita agak kecewa sebab gagal dapat mata penuh sebelum berehat, cuma kalau daripada segi momentum dan taktikal, ia lebih baik berbanding perlawanan sebelum-sebelum ini.

"Tetapi, ketumpulan di bahagian serangan masih lagi merisaukan dan itu yang perlu diperbaiki sebelum kita beraksi semula pada 29 Oktober," katanya.

Perak kini di kedudukan ketiga Kumpulan B Piala Malaysia dengan satu mata selepas seri 2-2 dengan Kuching City FC dan tewas 1-0 kepada Selangor FC.

Disiarkan pada: October 9, 2021 @ 2:59pm
d