Bola Sepak

Benzema idam anugerah Balon d'Or

Oleh AFP

Madrid: Penyerang berbisa Real Madrid, Karim Benzema mengidamkan memenangi anugerah Ballon d'Or sejak kanak-kanak lagi katanya dalam satu temubual yang diterbitkan akhbar Sepanyol, AS hari ini.

Benzema dipilih dalam senarai seramai 30 orang calon penerima Ballon d'Or semalam, sehari selepas meledak jaringan ketika Perancis menewaskan Belgium 3-2 dan mara ke final Liga Negara-Negara.

"Saya sudah mengidamkan memenangi anugerah sejak kanak-kanak lagi, malah semua pemain profesional mempunyai impian itu," kata Benzema.

"Jadi saya sudah melakukan semuanya yang boleh dan akan meneruskan untuk melakukannya kerana saya harap dapat memenanginya dan memenuhi impian sejak kanak-kanak."

Dengan sembilan gol dalam lapan perlawanan buat Madrid musim ini Benzema menyinar sejak Cristiano Ronaldo berpindah dari kelab berkenaan sejak dua tahun lalu.

"Apa yang penting orang ramai gembira dengan prestasi saya dan ia membuatkan saya seronok serta bangga.

"Terdapat beberapa penyerang ketika ini beraksi sangat baik ketika memasuki usia 30-an dan menjaringkan gol dengan banyak," kata Benzema yang akan berusia 34 tahun pada Disember ini.

"Bola sepak moden membenarkannya," katanya.

"Sememangnya satu kebanggaan berada dalam senarai 30 teratas pemain ini dan saya akan sentiasa berusaha mempamerkan aksi terbaik dalam setiap perlawanan.

Perancis akan berdepan Sepanyol pada final Liga Negara-Negara awal pagi Isnin ini.

Disiarkan pada: October 9, 2021 @ 11:06pm
d