Bola Sepak

Faisal, Mukhairi curi tumpuan kelab Eropah

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Dua pemain skuad Harimau Malaya, Faisal Abdul Halim dan Mukhairi Ajmal Mahadi ibarat 'pisang goreng panas' apabila disahkan beberapa kelab berminat untuk mendapatkan tonggak muda negara itu.

Perkara berkenaan disahkan ejen kedua-dua pemain terbabit dari Estrada Sports Agency yang mengakui kelab dari Portugal dan Sepanyol mahu merisik dua pemain itu.

Wakil agensi berkenaan yang lebih dikenali dengan panggilan Joe Berbatov di laman sosial berkata, ejen dari Eropah ada menghubunginya bagi mengetahui status pemain terbabit baru-baru ini.

"Memang benar ada ejen dari Eropah yang bertanya mengenai Faizal. Tapi itu bukan tawaran rasmi, cuma mereka hanya nak tahu kedudukan perihal kontrak Faizal, berapa gajinya, klausa dalam kontrak dan lain-lain.

"Bulan lepas pun ada yang bertanya pasal Mukhairi. Sama juga macam Faizal, mereka nak tahu status Mukhairi dan belum ada apa-apa tawaran dibuat. Sebenarnya ini petanda yang bagus buat pemain kita, di mana kelab-kelab di luar sana sudah mula cuba melihat bakat pemain tempatan," katanya kepada Arena Metro.

Faisal, 23, dan Mukhairi, 19, yang kini masing-masing beraksi buat Terengganu FC dan Selangor FC dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) dilihat antara pemain tempatan yang menyinar.

Malah, kedua-dua tonggak itu juga kini mula mendapat kepercayaan barisan kejurulatihan skuad Harimau Malaya yang kini berada di Jordan bagi menghadapi dua aksi antarabangsa bertemu pasukan tuan rumah dan Uzbekistan.

Meskipun skuad negara tewas dalam dua aksi persahabatan itu, namun impak yang diperagakan Faizal dan Mukhairi dalam dua perlawanan itu menyebabkan mereka kini menjadi perhatian kelab luar yang mahu memburu khidmat tonggak muda negara itu.

Disiarkan pada: October 10, 2021 @ 5:58pm
d