Bola Sepak

Wales tangguh hajat Belgium

Oleh AFP

Tallinn: Wales mencatat kemenangan 1-0 ke atas Estonia dalam kelayakan Piala Dunia untuk membuatkan Belgium terus menanti bagi melayakkan diri ke Qatar 2022 secepat mungkin.

Jaringan Kieffer Moore pada minit ke-12 sudah cukup buat Wales untuk memadamkan kekecewaan seri tanpa jaringan dengan lawan yang sama bulan lalu.

Jika Wales gagal mencatatkan kemenangan Belgium akan mengesahkan kedudukan selaku juara Kumpulan E dan meraih slot automatik ke Qatar tahun depan.

Bagaimanapun, Wales yang beraksi tanpa Gareth Bale akibat kecederaan, masih lagi menaruh harapan tipis untuk mengejar pasukan nombor satu dunia itu, dengan merapatkan jurang kepada lima mata tatkala Belgium masih lagi memiliki baki dua perlawanan.

Republik Czech menduduki tempat kedua dalam kumpulan berkenaan dengan dipisahkan perbezaan jaringan selepas menang 2-0 ke atas Belarus serta mempunyai satu lagi baki perlawanan.

Belgium mampu mengesahkan slot ke Piala Dunia apabila mereka menanti kunjungan Estonia bulan depan.

Wales sudah pasti akan beraksi di playoff walaupun mereka menamatkan saingan di bawah Czech, selepas muncul juara kumpulan dalam saingan Liga Negara-Negara 2020/21.

"Sekarang kami mempunyai dua lagi perlawanan terakhir pada November, kami mahu semua orang cergas, hadir ke kem dan bersedia untuk aksi seterusnya," kata jurulatih Wales, Robert Page.

Disiarkan pada: October 12, 2021 @ 9:04am
d