Bola Sepak

Akademi Barcelona lebih bagus berbanding Real Madrid

Susunan Hamdan Saaid

Kuala Lumpur: La Masia sering menjadi tempat yang mana bakat muda Barcelona sedar jika mereka memukau, ada langkahan selesa untuk mengetuk pintu pasukan utama.

Ia sudah menjadi satu norma pada era 1990-an dan ia kekal sebegitu hingga ke hari ini.

Satu dekad lalu, di bawah kendalian Pep Guardiola, Barcelona pernah menampilkan kesebelasan utama yang hampir semuanya graduan akademi mereka sendiri dengan Gerard Pique, Sergio Busquets, Xavi Hernandez, Andres Iniesta, Lionel Messi dan Cesc Fabregas semuanya di kelab itu pada kemuncak karier sebagai pemain.

Kini di bawah pengurus Ronald Koeman, mereka menampilkan kelompok kedua ketika Pedri, Ansu Fati, Gavi dan Nico semuanya melangkah kaki ke pasukan utama, masing-masing dengan potensi untuk mencapai taraf pemain bintang.

Kelab Catalan itu sering mampu mengenal pasti bakat muda dan berupaya membentuk mereka hingga menjadi pemain profesional disegani.

Penampilan sulung Gavi bersama Sepanyol pada usia 17 tahun dan 60 hari minggu lalu membuktikan dia mempunyai keupayaan untuk meraih segala-galanya dalam bola sepak dan Barcelona mempunyai beberapa pemain tengah dengan purata umur bawah 18 tahun.

Real Madrid pula sering teragak-agak untuk menerapkan pemain muda daripada pasukan Castilla ke pasukan utama.

Mereka tidak mengamalkan budaya sama seperti Barca yang mempunyai keyakinan terhadap pemain remaja sebaliknya mereka akan meminjamkan dahulu pemain itu ke kelab lain.

Contoh paling baik lihat di Atletico Madrid dengan kedua-dua Marcos Llorente dan Mario Hermoso, yang terpaksa meninggalkan Real Madrid untuk beraksi di La Liga walaupun sebenarnya mereka mempunyai bakat mengagumkan.

Polisi Barcelona amat berbeza dengan Real Madrid dan mereka pastinya terhutang budi kepada Johan Cruyff dan legasinya di kelab itu.

Los Blancos sebaliknya sering mengharapkan keputusan terbaik dalam tempoh singkat sekalipun mereka mempunyai pemain muda yang menyerlah beberapa tahun terakhir seperti Lucas Vazquez dan Dani Carvajal, itu pun selepas mereka menimba ilmu dan pengalaman di kelab lain.

Disiarkan pada: October 12, 2021 @ 9:11pm
d