Bola Sepak

Hernandez pula positif Covid-19

Oleh AFP

Paris: Pertahanan kiri AC Milan, Theo Hernandez diuji positif Covid-19 hanya sehari selepas rakan sepasukannya dalam skuad Perancis, Adrien Rabiot dijangkiti virus itu, umum kelabnya hari ini.

Pemain berusia 24 tahun yang beraksi disamping Rabiot bersama skuad Perancis dalam aksi separuh akhir Liga Negara-Negara menentang Belgium, Khamis lalu, meledak gol kemenangan pada minit ke-90.

Rabiot terpaksa diketepikan dari aksi final selepas diuji positif Covid-19 tetapi Hernandez beraksi 90 minit masa penuh perlawanan ketika juara dunia itu mengatasi Sepanyol, 2-1.

"Theo Hernandez, yang kembali daripada skuad kebangsaan, diuji positif daripada ujian swab yang dijalankan di kediamannya," menurut kenyataan Milan.

"Pihak berkuasa kesihatan berkaitan sudah dimaklumkan mengenai perkara itu dan dia berada dalam keadaan baik."

Milan yang menduduki tempat kedua dalam carta Serie A akan melayan kunjungan Hellas Verona pada Sabtu ini.

Disiarkan pada: October 13, 2021 @ 9:34pm
d