Bola Sepak

Newcastle intai khidmat Werner

Oleh Agensi

London: Newcastle United dilaporkan mahu mendapatkan khidmat penyerang Chelsea, Timo Werner, selewat-lewatnya Januari ini.

Susulan kejayaan pengambilalihan Magpies oleh konsortium Arab, jelas beberapa langkah sedang diambil dalam memperkuatkan pasukan termasuk melakukan persediaan dalam jendela perpindahan pemain akan datang.

Menurut akhbar tempatan wakil kelab berkenaan sudahpun berhubung dengan penyerang Jerman, Timo Werner, dengan ejen pertahanan Magpies, Fabian Schar turut mewakili pemain Chelsea itu sekali gus mempunyai hubungan antara dua pihak terbabit.

Sejak Blues berjaya mendapatkan khidmat Romelu Lukaku pada musim panas, Werner hanya memulakan tiga perlawanan Liga Perdana pada kempen musim ini, selepas menjaringkan 12 gol dan 15 bantuan jaringan tatkala mereka menamatkan saingan di tempat ke empat dan memenangi Liga Juara-Juara musim lalu.

Pemain berusia 25 tahun itu berjaya mencuri perhatian untuk menyertai kelab utama Inggeris selepas beraksi cemerlang di RB Leipzig, meledak 28 gol dan melakukan lapan bantuan gol dalam 34 penampilan di Bundesliga pada musim 2019-20.

Disiarkan pada: October 13, 2021 @ 11:10pm
d